Sinar Harian
BALING - Dua maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Batu Tujuh, Jalan Tawar - Kulim pada Selasa.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, salah seorang mangsa yang maut, Alina Mohd Shapri, 23, menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari Baling dikatakan mahu ke tempat kerja di Kulim.Menurutnya, seorang lagi mangsa maut iaitu lelaki menaiki Proton Saga sedang dikenal pasti."Kedua-dua individu tersepit iaitu mangsa lelaki dari Proton Saga telah dikeluarkan oleh pihak bomba manakala mangsa wanita dari Perodua Myvi telah dibantu dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam."Kedua-dua disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.Menurut Zulkhairi, kereta Proton Saga turut dinaiki seorang lagi lelaki yang dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital oleh pihak KKM.Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.22 pagi dan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 24 kilometer."Setibanya di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, dua mangsa maut manakala seorang parah."Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, selain dua buah kereta, kemalangan turut membabitkan sebuah bas.Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kemalangan membabitkan kereta Myvi dipandu mangsa wanita dan bas dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun bergerak dari arah sama iaitu Baling ke Kulim."Sementara itu, sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama penumpang lelaki berusia 27 tahun bergerak dari arah bertentangan iaitu dari arah Kulim menghala ke arah Gerik."Bagaimanapun, kejadian terbabit masih dalam siasatan pihak polis," katanya.Mayat mangsa kedua-dua pemandu kereta telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling bagi proses bedah siasat.Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Go to News Site