Collector
PRN Johor tidak jejaskan Kerajaan Perpaduan – Khaled Nordin | Collector
PRN Johor tidak jejaskan Kerajaan Perpaduan – Khaled Nordin
Sinar Harian

PRN Johor tidak jejaskan Kerajaan Perpaduan – Khaled Nordin

KOTA TINGGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan meskipun landskap politik negeri dijangka berubah selepas pilihan raya.Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, senario politik negara ketika ini sudah berubah dan tidak lagi dikuasai oleh mana-mana parti secara dominan seperti sebelum ini.Menurutnya, Malaysia kini berada dalam fasa politik baharu yang menyaksikan kerjasama pelbagai parti menjadi amalan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri."Kerajaan Perpaduan masih wujud. Kita perlu menerima hakikat bahawa keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu."Dalam politik baharu ini, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi sepenuhnya. Di peringkat Persekutuan, coraknya berbeza, manakala di negeri pula mungkin berbeza," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di sini pada Selasa.Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, rakyat perlu menerima realiti bahawa landskap politik negara sedang berubah dan perbezaan kerajaan antara negeri dan Persekutuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa."Di peringkat Persekutuan, ada parti yang menjadi sebahagian kerajaan tetapi di negeri mereka berada di pihak pembangkang. Di Johor pula, kerajaan negeri diterajui sepenuhnya Barisan Nasional (BN)."Jadi rakyat perlu memahami bahawa politik negara akan bergerak dalam keadaan seperti ini," katanya.Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya negeri selepas pembubaran DUN.

Go to News Site