Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor menzahirkan keyakinan penuh dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Onn Hafiz Ghazi untuk terus mengetuai BN pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) ke-16 serta menerajui kerajaan negeri.Ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat Pemuda BN Johor yang berlangsung di Johor Bahru pada Selasa.Menurut kenyataan bersama kepimpinan sayap pemuda parti komponen BN Johor, keyakinan tersebut disandarkan kepada rekod pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang disifatkan berjaya membawa negeri itu ke landasan pembangunan yang lebih kukuh dan berdaya saing.Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda MIC Johor, Mohan Arunachalam; Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li; serta Ketua Pemuda PPP Johor, Dr. Vinesh.Mereka berkata, Johor kini muncul sebagai antara negeri paling kompetitif di Malaysia dengan pelbagai pencapaian membabitkan aspek pelaburan, pembangunan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan premium, pembangunan perumahan rakyat serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan.Selain itu, pelbagai inisiatif melibatkan pembangunan belia dan kesejahteraan rakyat turut dilaksanakan, sekali gus memperkukuhkan usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.Sehubungan itu, Pemuda BN Johor menyeru seluruh Bangsa Johor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk terus memberikan kepercayaan serta mandat yang kukuh kepada BN pada PRN akan datang.Menurut mereka, mandat yang jelas dan besar amat penting bagi memastikan kestabilan politik negeri, kesinambungan dasar pembangunan serta pelaksanaan agenda kemajuan yang sedang dan bakal dilaksanakan demi masa depan Johor yang lebih makmur, inklusif dan sejahtera.Dalam menghadapi pilihan raya negeri itu, Pemuda BN Johor memaklumkan bahawa jentera mereka kini berada dalam keadaan siap siaga dengan pelbagai persiapan sedang dipergiatkan di semua peringkat.Antara fokus utama yang diberi perhatian termasuk penyusunan portfolio gerak kerja pilihan raya, pengukuhan komunikasi strategik, usaha mendominasi media digital serta perancangan pelbagai program lapangan bagi memastikan jentera pemuda berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.Pemuda BN Johor turut menegaskan komitmen mereka untuk terus menjadi antara tunjang kekuatan BN dengan menggerakkan tenaga anak muda secara tersusun, agresif dan berkesan sepanjang kempen PRN-16.
Go to News Site