Sinar Harian
SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menyaksikan pertembungan parti politik baharu dan pertandingan banyak penjuru berbanding sebelum ini.Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin membuka lembaran baharu dalam politik negeri yang sekian lama dianggap sebagai barometer penting kepada landskap politik nasional.Menurutnya, berbeza dengan PRN Johor 2022 yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN), PRN kali ini berpotensi menjadi antara yang paling kompleks dan sukar diramal dalam sejarah politik negeri itu."Perkembangan semasa menunjukkan landskap politik Johor semakin berpecah dan berlapis."UMNO-BN dan Pakatan Harapan (PH) dilihat cenderung bergerak secara berasingan, manakala Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka terus memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya kepada Sinar Harian.Ujarnya, pada masa sama, gerakan Reset yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan sedang merintis penubuhan sebuah parti baharu, manakala Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin oleh Datuk Seri Rafizi Ramli turut dikatakan berminat menyertai gelanggang PRN Johor.Menurutnya, sekiranya perkembangan itu menjadi kenyataan, Johor berkemungkinan menjadi medan pertandingan pelbagai penjuru secara besar-besaran."Senario ini menjadikan PRN Johor bukan sekadar pertarungan antara kerajaan dan pembangkang, tetapi persaingan antara pelbagai blok politik yang sedang mencari ruang, pengaruh dan legitimasi dalam era pasca Kerajaan Perpaduan."Dalam keadaan sedemikian, persoalan utama bukan lagi siapa yang memiliki sokongan terbesar, tetapi siapa yang paling berupaya menguruskan perpecahan undi," katanya.Mohamad Hafis berkata, sejarah pilihan raya menunjukkan dalam pertandingan banyak penjuru, kemenangan sering berpihak kepada parti yang memiliki pengundi teras yang setia, jentera tersusun dan berdisiplin.Katanya, dalam konteks Johor, faktor itu berpotensi memberi kelebihan kepada BN yang masih mempunyai jaringan akar umbi yang kukuh, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar dan separa bandar."Pada masa sama, PH pula masih bergantung kepada kekuatan sokongan pengundi bukan Melayu dan kelas menengah bandar yang selama ini menjadi tunjang kepada prestasi pilihan rayanya."Bagaimana pun, BN dan PH tidak boleh terlalu yakin dengan kedudukan masing-masing."Sentimen berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, harga rumah, pembangunan ekonomi serta prestasi kerajaan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi kecenderungan pengundi," katanya.Selain itu katanya, golongan muda yang kini membentuk segmen pengundi yang semakin signifikan dilihat semakin bebas daripada pengaruh politik tradisional dan lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan isu semasa, prestasi kepimpinan dan persepsi terhadap masa depan ekonomi negeri dan negara.Katanya, bagi PN pula, kekuatan utamanya masih terletak pada pengaruh Pas dalam kalangan pengundi Melayu serta naratif perubahan yang dibawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini."Namun, kemunculan parti-parti baharu berpotensi menghakis sebahagian sokongan yang sebelum ini tertumpu kepada PN, terutama jika parti-parti tersebut berjaya menarik tokoh-tokoh berpengaruh dan menawarkan alternatif politik yang mampu menarik kelompok pengundi atas pagar."Apa yang pasti, PRN Johor kali ini bakal menjadi medan ujian kepada semua parti politik," katanya.
Go to News Site