Collector
Selama manfaatkan potensi eko-pelancongan | Collector
Selama manfaatkan potensi eko-pelancongan
Sinar Harian

Selama manfaatkan potensi eko-pelancongan

LARUT - Terletak di utara Perak, Selama terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.Daerah yang dahulunya dilihat sebagai kawasan luar bandar itu kini mula meneroka potensi pelancongan berasaskan alam secara lebih tersusun.Usaha tersebut semakin membuahkan hasil apabila Selama kian menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.Pengurus ATV Sungai Seputih, Masrul Apdhal Mohamad berkata, perniagaan yang mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2025 itu diwujudkan dengan matlamat membantu komuniti setempat menjana pendapatan tambahan.Menurutnya, pakej yang ditawarkan bukan sahaja memberi pengalaman rekreasi kepada pelancong, malah turut membawa mereka menyelami kehidupan kampung serta menyokong ekonomi penduduk sekitar."Melalui pakej ATV, pengunjung dibawa melalui laluan mencabar seperti bukit pacak, kawasan sungai, bendang dan ladang, selain pakej santai yang memberi peluang melihat keindahan kampung serta keunikan budaya tempatan."Dalam masa sama, mereka turut dibawa melawat pusat industri kecil dan sederhana (IKS), rumah tradisional serta pusat anyaman bagi memberi pendedahan dan sokongan kepada pengusaha tempatan," katanya.Beliau berkata, bantuan kerajaan menerusi program Sejati MADANI berjumlah RM100,000 telah digunakan untuk menambah unit ATV dan memperluaskan operasi perniagaan.Sementara itu, pengendali Selama Rafting dan Selama Beach Campsite, Mohd Idrus Abd Wahid berkata, peningkatan jumlah pelawat daripada 5,300 orang kepada 8,000 orang setahun, memberi kesan langsung kepada kitaran ekonomi setempat termasuk pengusaha inap desa, peniaga runcit dan penyedia katering."Apabila pelancong datang, mereka bukan sahaja sertai aktiviti seperti rafting, malah menggunakan kemudahan lain seperti penginapan, makanan dan perkhidmatan tempatan."Ini mewujudkan rantaian ekonomi berterusan yang turut membuka peluang pekerjaan kepada belia tempatan sebagai pemandu pelancong dan tenaga sokongan," katanya.Beliau berkata, kemudahan tapak perkhemahan yang disediakan merangkumi 19 lot dengan kapasiti sehingga sekitar 200 pengunjung pada satu-satu masa.Menariknya, lokasi itu turut menerima kehadiran pelancong dari pelbagai benua termasuk Amerika dan Eropah, selain negara Asia seperti Hong Kong dan China."Bagi memperkukuh pembangunan sektor ini, adalah penting untuk pengusaha pelancongan mengekalkan kerjasama erat dengan agensi seperti Majlis Daerah Selama, Pejabat Daerah dan Tanah Selama dan Tourism Perak," katanya.Dalam pada itu, pengusaha produk makanan tempatan, Faridah Mohamed Yatim berkata, kehadiran pelancong turut memberi impak besar kepada perkembangan industri makanan dan cenderahati di kawasan berkenaan."Pelancong bukan sahaja membeli, malah ada yang menjadi ejen dan membantu mempromosikan produk kami, sekali gus memperluaskan pasaran," katanya.Pembangunan pelancongan di Selama membuktikan bahawa gabungan keunikan alam semula jadi, penglibatan komuniti serta sokongan kerajaan pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mampu mewujudkan ekosistem ekonomi yang mampan dan inklusif.Dalam perancangan di dalam pelan Perak Sejahtera 2030 daerah berkenaan dikhususkan sebagai Hab Eko-Pelancongan Selama.

Go to News Site