Sinar Harian
ALOR GAJAH - Tindakan seorang pekerja kedai serbaneka bersekongkol dengan rakannya untuk menyamun premis tempatnya bekerja membawa padah apabila kedua-duanya berjaya ditahan polis dalam kejadian di Kuala Sungai Baru di sini pada Isnin lalu.Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi apabila seorang jurujual berusia 18 tahun berdepan detik cemas selepas diacukan parang oleh suspek berusia 23 tahun yang memakai topi keledar.Menurutnya, mangsa sempat melarikan diri ke dalam stor sebelum melihat suspek mengambil wang tunai di kaunter pembayaran menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV)."Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang lagi rakannya berusia 19 tahun yang menunggu di pintu masuk."Polis percaya suspek utama merupakan pekerja premis berkenaan yang berusia 23 tahun berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh," katanya pada Rabu.Ahmad berkata, kedua-dua suspek berjaya melarikan wang tunai dianggarkan RM1,000, namun wang tersebut dipercayai tercicir selepas pasukan forensik menemukan satu sampul simpanan wang yang mengandungi sejumlah wang berkenaan, dipercayai ketika mereka cuba melarikan diri.Tambah beliau, kedua-dua suspek berjaya diberkas dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu."Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Kompleks Mahkamah Alor Gajah dan mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini."Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata," katanya.
Go to News Site