Sinar Harian
SHAH ALAM - Polis merekodkan keterangan Tan Sri Azam Baki berkaitan dua kes iaitu penerbitan artikel oleh Bloomberg yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad serta dakwaan salah guna kuasa dan ugutan jenayah terhadap Albert Tei.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, proses merekodkan percakapan Azam dibuat mengikut peruntukan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada Rabu."Kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang berpotensi menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan."Ini bagi menjamin keadilan dan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa," ujarnya.Sebelum itu, Azam mengesahkan kehadirannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 9 pagi.Azam memaklumkan proses merekodkan keterangannya mengambil masa kira-kira dua jam dan beliau memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat.Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh Albert Tei.Pada 26 Mei lalu, Kumar dilaporkan berkata, Azam akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Albert yang mendakwa dirinya diugut oleh Azam.Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Go to News Site