Collector
"Selagi mampu, saya akan terus berjuang untuk dia”, pengorbanan isteri jaga suami TBI | Collector
Sinar Harian

"Selagi mampu, saya akan terus berjuang untuk dia”, pengorbanan isteri jaga suami TBI

SEMENYIH – Empat bulan lalu, kehidupan seorang isteri dan empat anak berubah sekelip mata apabila ketua keluarga mereka terlibat dalam kemalangan motosikal langgar lari di Beranang yang mengakibatkan kecederaan otak traumatik (TBI).Akibat kecederaan serius itu, Ahmad Affandi Dasril, 37, yang dahulunya aktif, ceria dan menjadi tulang belakang keluarga, kini tidak mampu bercakap serta memerlukan penjagaan sepenuh masa.Isterinya, Laila Hafni Rusdi, 35, berkata cabaran yang hadir selepas kemalangan tersebut bukan sesuatu yang pernah dibayangkan.Menurutnya, tanpa sebarang latar belakang perubatan, dia terpaksa mempelajari sendiri cara menjaga pesakit TBI, termasuk menguruskan makan dan minum melalui tiub susu, memandikan suami, menukar lampin pakai buang serta memastikan setiap luka dirawat dengan baik bagi mengelakkan jangkitan."Pada hari kejadian, suami dikejarkan ke Hospital Kajang sebelum dirujuk ke Hospital Putrajaya. Doktor beritahu terdapat pendarahan dalam otak selepas ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan perlu menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala."Dalam tempoh dua minggu pertama itu, saya berulang-alik setiap hari dari Semenyih ke Putrajaya sambil menguruskan empat orang anak yang masih kecil."Sekarang, alhamdulillah keadaan suami semakin baik, namun masih belum boleh bercakap dan perlu diuruskan sepenuhnya. Saya bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak banyak membantu memudahkan urusan harian," katanya kepada Sinar Harian.Laila Hafni mengakui antara perkara paling sukar pada peringkat awal ialah memahami tingkah laku suaminya yang tidak mampu bercakap untuk menyatakan keperluan atau kesakitan yang dialami.Katanya, segala-galanya perlu dipelajari sendiri dengan mencari maklumat di internet dan mendapatkan pandangan pakar."Memang sangat mencabar, apatah lagi saya perlu menjaga empat orang anak berusia antara dua hingga 11 tahun, dan tiga daripada mereka sudah bersekolah."Pada masa yang sama, saya perlu memastikan semua keperluan suami sentiasa mencukupi," ujarnya.Mendirikan rumah tangga selama 12 tahun, Laila Hafni berkata, walaupun diuji dengan keadaan yang amat mencabar, dia tidak pernah terfikir untuk berputus asa.Menurutnya, suami seorang yang baik serta bapa yang penyayang ketika sihat."Kalau bukan kerana dia seorang suami yang baik, saya tidak pasti mampu bertahan sejauh ini. Dulu ketika saya bersalin, dia sanggup tidur di kaki lima hospital."Dia juga seorang Abi yang sangat penyayang dan bertanggungjawab terhadap keluarga. Jadi apabila dia sakit, saya pula mengambil alih semua tanggungjawab."Selagi saya mampu, saya akan terus berjuang untuknya," katanya.Tambah beliau, anak-anak juga menjadi sumber kekuatan untuk terus tabah menghadapi ujian tersebut."Saya tidak sanggup melihat anak-anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Perjalanan mereka masih panjang dan itu antara sebab utama saya terus berusaha mencari ikhtiar demi kesembuhan suami," katanya.

Go to News Site