Collector
Pengguna Malaysia semakin utamakan kepercayaan ketika membeli-belah dalam talian | Collector
Pengguna Malaysia semakin utamakan kepercayaan ketika membeli-belah dalam talian
Sinar Harian

Pengguna Malaysia semakin utamakan kepercayaan ketika membeli-belah dalam talian

SHAH ALAM – Pengguna Malaysia kini semakin mengutamakan aspek kepercayaan, ketulenan produk dan perlindungan pembelian ketika membeli-belah dalam talian, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mendorong mereka berbelanja secara lebih berhati-hati.Ketua Perniagaan dan Operasi Lazada Malaysia, Kevin Yap berkata, pengguna kini lebih cenderung membuat perbandingan, melakukan penyelidikan dan mempertimbangkan pembelian dengan lebih teliti berbanding sebelum ini.Menurut beliau, walaupun kadar inflasi Malaysia meningkat sebanyak 1.7 peratus pada Mac 2026, pengguna tidak semestinya mencari produk paling murah, sebaliknya mahu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi nilai yang setimpal.Beliau berkata, laporan Cube Asia pada November 2025 yang dibangunkan dengan kerjasama Lazada dan melibatkan 1,000 pengguna Malaysia mendapati semua responden membuat sekurang-kurangnya 20 peratus pembelian dalam talian mereka melalui kedai jenis Mall seperti kedai rasmi atau peruncit yang diberi kuasa."Lebih ketara, sebanyak 60 peratus responden menyatakan antara 60 hingga 100 peratus pembelian dalam talian mereka dibuat melalui kedai jenis Mall," katanya dalam satu kenyataan.Menurut Kevin, dapatan itu menunjukkan persekitaran membeli-belah yang dipercayai semakin menjadi pilihan utama pengguna di negara ini.Beliau berkata, faktor kepercayaan menjadi lebih penting ketika musim jualan besar seperti kempen 6.6 apabila pengguna berdepan lambakan produk, penjual dan promosi yang bersaing untuk mendapatkan perhatian."Pilihan bukan lagi masalah utama pengguna. Cabarannya adalah mengenal pasti produk dan penjual yang benar-benar layak mendapat kepercayaan mereka," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, LazMall menghimpunkan kedai rasmi jenama, penjual yang disahkan, jenama antarabangsa serta jenama tempatan yang dipercayai bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih meyakinkan kepada pengguna.Menurutnya, platform tersebut turut membantu pengguna mendapatkan akses kepada produk antarabangsa selain memberi peluang kepada jenama tempatan mengembangkan perniagaan dalam pelbagai kategori termasuk penjagaan diri, kesejahteraan, pakaian, gaya hidup dan makanan.Mengulas mengenai faktor yang mempengaruhi keputusan pembelian pengguna, Kevin berkata, jaminan dan ketulenan produk kini menjadi antara pertimbangan utama.Beliau berkata, tinjauan yang sama mendapati 73.3 peratus pengguna Malaysia sanggup membayar lebih untuk membeli daripada kedai Mall, manakala 13.4 peratus mengelakkan pembelian daripada penjual bukan Mall tanpa mengira harga yang ditawarkan."Ini menunjukkan kepercayaan bukan lagi sekadar nilai tambahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada nilai sesuatu pembelian itu sendiri," katanya.Beliau turut menasihatkan pengguna supaya membuat semakan terhadap status penjual, jaminan ketulenan produk, maklumat produk, ulasan pelanggan serta polisi penghantaran dan pemulangan sebelum membuat pembelian.Dalam perkembangan berkaitan, Lazada turut memperkenalkan Lazzie, pembantu membeli-belah berasaskan kecerdasan buatan (AI), bagi membantu pengguna mencari produk yang bersesuaian dengan lebih mudah.Menurut Kevin, teknologi itu direka untuk membantu pengguna mendapatkan cadangan produk yang lebih relevan, sekali gus mengurangkan masa yang dihabiskan untuk mencari dan membandingkan pilihan yang tersedia.Beliau berkata, kempen jualan 6.6 memberi peluang kepada pengguna untuk menikmati pelbagai pilihan produk, di samping membeli-belah dengan lebih yakin menerusi sokongan teknologi dan ciri perlindungan yang disediakan.

Go to News Site