Sinar Harian
SHAH ALAM - Didorong rasa kesal yang mendalam kerana tidak sempat menyelamatkan bapa rakannya yang pernah melalui situasi sama, membuatkan seorang penunggang motosikal nekad membantu mengiringi sebuah ambulans melalui kesesakan jalan raya.Tindakan murni pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Visual di Universiti UCYP, Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, 23, itu bukan sahaja meraih pujian pengguna di media sosial, malah turut membuktikan masih ramai dalam kalangan rakyat di negara ini yang berhati mulia.Mengimbau peristiwa dua tahun lepas, Tuan Nurhan menceritakan perkara yang pernah dilalui sehingga menjadikannya seorang yang sangat peka dengan situasi kritikal di jalan raya."Waktu itu ada ambulans di sekitar saya sedang menghadapi kesesakan jalan yang sangat teruk, tetapi tidak sempat melakukan apa-apa untuk membantu kerana rasa saya masih kurang ilmu dan takut membahayakan orang lain."Namun, sebaik tiba di rumah, saya dapat berita sedih mengenai bapa kepada rakan saya yang kebetulan berada di dalam ambulans tersebut telah meninggal dunia. Ia berpunca daripada kelewatan tiba di hospital akibat tersangkut dalam kesesakan jalan raya."Saya dah menyesal sekali. Jadi untuk hal yang melibatkan nyawa orang, saya tekad nak tolong walaupun saya tak kenal. Saya betul-betul berniat untuk mudahkan urusan orang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.Sejak Selasa, tular video berdurasi 1 minit 27 saat memaparkan seorang penunggang motosikal yang mengiringi sebuah ambulans bermula dari Jaya Gading sehingga ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang sehingga menarik perhatian ramai.Mengulas lanjut, Tuan berkata, semasa dalam perjalanan pulang dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang, beliau mendapati sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Chini yang sedang membawa pesakit.Jelasnya, aliran trafik yang perlahan bermula dari Simpang Gambang sehingga ke Batu 10 pada waktu kemuncak menimbulkan hasratnya untuk membantu buka laluan kepada kenderaan perubatan tersebut.Ujar beliau, sepanjang tempoh 45 minit perjalanan itu tidak semudah yang disangka, tambahan pula apabila dirinya terpaksa menghadapi sikap segelintir pemandu yang kurang peka semasa di jalan raya."Saya terpaksa turun dari motosikal untuk memberikan arahan kepada pemandu lain sebab ada yang leka dengan telefon bimbit. Mungkin juga disebabkan semua orang nak cepat balik rumah," katanya.Kata Tuan, emosinya turut terganggu kerana mengenangkan nasib pesakit di dalam kenderaan kecemasan itu."Sambil menunggang motosikal, saya sempat menangis sebab tak tahu keadaan mangsa dan saya selalu terfikir bagaimana kalau pesakit di dalam itu adalah ahli keluarga saya sendiri."Minyak motor saya sebenarnya dah nak habis dan tak sempat diisi sebelum mulakan perjalanan. Saya tertanya juga sama ada sempat atau tidak untuk sampai ke tempat yang dituju ambulans itu."Tapi saya teruskan juga sambil berdoa agar ALLAH selamatkan pesakit dan mudahkan urusan saya," katanya lagi.Sementara itu, pegawai perubatan di dalam ambulans berkenaan, yang ingin dikenali sebagai Dr Fadzlin, 33, menjelaskan, bayi tersebut mengalami sesak nafas akut akibat jangkitan paru-paru dan terpaksa diberikan bantuan oksigen tahap maksimum."Hospital paling dekat adalah HTAA. Itupun mengambil masa satu jam paling cepat kalau jalan tidak sesak. Disebabkan pesakit masih tidak stabil dan bernafas laju, kami perlu membawanya ke hospital dengan kadar segera."Adik ini (Tuan) bantu iringi ambulans dari sebelum Jaya Gading sampai betul-betul lalu pintu masuk HTAA. Kalau bukan asbab beliau, kami tersangkut lama dalam kesesakan dan memberi kesan kepada bayi yang tidak stabil ini," katanya kepada Sinar Harian.Mengulas lanjut, Tuan menjelaskan, sifat kemanusiaan yang tinggi dalam dirinya adalah hasil didikan luar biasa daripada kedua-dua ibu bapa yang juga merupakan penjawat awam barisan hadapan.Ibunya yang merupakan seorang jururawat, Rozita Mohd Gazali, 49, manakala ayahnya pula seorang bomba, Tuan Nor Azham Shah Tuan Yusoff, 56, sering menceritakan kes kemalangan yang terjadi di hadapan mereka."Ibu selalu nasihat, walau macam mana sibuk pun kita, jangan lupa tolong orang sekeliling terutamanya yang berada dalam kecemasan sebab balasan baik itu ada. Ayah pula tugas hakikinya menyelamatkan mangsa, itu adalah dorongan untuk saya jadi berani."Selepas tiba di kolej sekitar pukul 6 petang, saya rasa teringin sangat nak jumpa ibu dan abah. Saya terus pulang dan ceritakan segalanya kepada ibu sehingga kami sama-sama mengalirkan air mata. Ayah pula walaupun nampak santai, saya tahu ada kebanggaan terselit di hatinya," ujarnya.Pengalaman berharga itu secara tidak langsung membuka matanya untuk meneliti sikap sebenar pengguna jalan raya, sekali gus merungkai punca utama mengapa situasi kecemasan di jalan raya sering dipandang remeh oleh segelintir pemandu."Saya minta agar orang ramai tak terlalu leka dengan telefon semasa memandu di kawasan jalan yang sesak, walaupun pada ketika itu terpaksa menunggu lama."Saya juga dapati kelekaan itu berpunca daripada bunyi siren ambulans yang kurang jelas, sebab itu mereka kurang cakna dengan kehadiran ambulans itu."Dalam situasi ini, pihak berkuasa perlu ambil tindakan untuk memberi penambahbaikan kepada kemudahan awam sedia ada terutamanya ambulans, supaya pekerja-pekerja kesihatan ini dapat jalankan tugas mereka dengan mudah," jelasnya.
Go to News Site