Sinar Harian
SHAH ALAM - Hobi seorang lelaki memelihara binturong secara haram di sebuah kediaman di Seksyen 32 di sini hanya menjerat diri selepas ditahan pada Rabu.Tangkapan dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Operasi Bersepadu Khazanah itu dijalankan pada jam 1.19 petang.Menurutnya, suspek berusia 52 tahun merupakan pemilik kediaman telah mengaku memelihara hidupan liar tersebut."Pasukan operasi telah merampas seekor binturong bernilai kira-kira RM15,000 dan sangkar."Kesemua barang kes telah dibawa ke Pejabat Perhilitan Selangor untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Beliau berkata, kes melibatkan kesalahan pemilikan hidupan liar tanpa permit khas dan tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.Tambahnya, suspek dikatakan memperolehi binatang liar itu daripada rakannya sejak tahun lalu."Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," ujarnya.26 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhilitan mengesan kegiatan pemburuan haram hidupan liar dilindungi bagi spesies binturong untuk dijadikan haiwan peliharaan.Binturong atau nama saintifiknya Arctictis Binturong merupakan mamalia arboreal daripada keluarga musang (Viverridae) yang terdapat di Asia Tenggara termasuk Malaysia.Binturong diklasifikasi dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Go to News Site