Sinar Harian
PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Motif kes bunuh seorang lelaki di sebuah kedai makan di Pekan Nanas, di sini pada 21 Mei lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan elemen kumpulan kongsi gelap termasuk kegiatan merekrut ahli baru.Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, semua mereka yang terlibat sudah ditahan iaitu tujuh suspek dan akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis."Ini susulan kertas siasatan kemudiannya dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor, semalam dan diberi arahan tuduh membabitkan tujuh individu di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan."Sementara itu, tiga suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, mereka akan didakwa atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Menurutnya, pada 21 Mei lalu, polis menerima satu laporan mengenai kejadian tetak melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun di hadapan sebuah kedai makan di pekan Nanas."Mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian tangan dan kaki kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.Bertindak atas maklumat ujarnya, seramai 10 individu berusia 18 hingga 28 tahun ditahan di Pontian dan Batu Pahat bagi membantu siasatan.Pihaknya turut merampas kenderaan, pakaian, pelitup muka dan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau ke atas mendapati enam suspek memiliki rekod jenayah manakala dua suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik.
Go to News Site