Sinar Harian
LAPORAN audit menyeluruh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyaksikan banyak kelemahan yang dikenal pasti oleh badan induk bola sepak Asia itu terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).Menerusi pembentangan yang dilakukan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany pada Kongres Luar Biasa FAM menyaksikan skor rendah telah diberikan kepada FAM sekali gus menuntut perubahan segera dilakukan.Sebahagian besar aspek operasi FAM mencatatkan skor yang rendah dan dinilai sekadar berada pada Tahap 2 iaitu pra-pertengahan menunjukkan bahawa kelemahan ketara wujud dalam tadbir urus mereka.Menurut laporan audit tersebut, antara isu utama yang dikesan iaitu struktur tadbir urus organisasi wujud di atas kertas, namun tidak pernah diluluskan atau dikuatkuasakan secara rasmi.Selain itu, kuasa dan proses membuat keputusan tertumpu secara tidak rasmi kepada pihak atasan sekali gus mengetepikan mandat serta garis pelaporan yang sepatutnya dipatuhi mengikut struktur organisasi.Beberapa fungsi kritikal organisasi juga didapati bergantung kepada individu tertentu berbanding institusi selain tiada jabatan yang menyediakan pelan perniagaan tahunan, kalendar aktiviti mahupun laporan prestasi secara berkala.Laporan itu turut mendedahkan ketiadaan petunjuk prestasi utama (KPI) dan kerangka pengukuran prestasi di semua jabatan, sekali gus menyukarkan proses pemantauan serta penilaian pencapaian organisasi.Dalam aspek pengurusan sumber manusia, terdapat kakitangan yang diberikan tanggungjawab tambahan tanpa persetujuan rasmi, semakan kapasiti kerja atau pelarasan gaji yang bersesuaian.Kelemahan-kelemahan sistemik ini dicerminkan menerusi skor penilaian kematangan yang amat rendah bagi 11 bidang fokus utama yang dinilai oleh AFC.Antara skor terendah yang direkodkan ialah 1.2 bagi bidang Kewangan, Maklumat Perniagaan dan Risiko diikuti dengan 1.3 bagi bidang Tadbir Urus dan Perundangan.Selain itu, bidang Sumber Manusia dan Budaya serta Infrastruktur dan Kemudahan masing-masing mencatatkan skor sebanyak 1.4, manakala bidang Pentadbiran, Logistik dan Teknologi Maklumat dengan skor 1.6.Dalam pada itu, Komunikasi dan Media menjadi satu-satunya jabatan yang berjaya mencapai skor 2.0.
Go to News Site