Collector
BN menang di Johor tidak jamin kejayaan PRU16 - DAP | Collector
BN menang di Johor tidak jamin kejayaan PRU16 - DAP
Sinar Harian

BN menang di Johor tidak jamin kejayaan PRU16 - DAP

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak menganggap kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai jaminan kejayaan sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, keputusan parti itu bertanding secara solo kerana UMNO dilihat mahu menggunakan PRN untuk mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan seperti sebelum 2018.Menurutnya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN secara umumnya telah berjaya melepasi ujian mentadbir negara serta menghadapi pilihan raya bersama."Justeru, terdapat kemungkinan besar kedua-dua gabungan itu akan meneruskan kerjasama dalam PRU akan datang melalui pertandingan satu lawan satu antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN)."Namun, nampaknya masih ada pihak yang mengimpikan kembalinya era UMNO sebagai kuasa politik yang sangat dominan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, MCA dilihat mendesak BN bergerak secara solo kerana parti itu mungkin hanya diperuntukkan dua kerusi Parlimen sekiranya PH dan BN meneruskan kerjasama."Walaupun MCA merupakan sebahagian daripada kerajaan, parti itu sering dilihat bertindak seperti pembangkang dengan memainkan pelbagai isu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina."Dalam UMNO sendiri, terdapat pemimpin yang tidak mahu parti itu bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya."Mereka percaya UMNO hanya mampu mengembalikan kegemilangan lampau jika bertanding di sebanyak mungkin kerusi dan mengetengahkan calon Perdana Menteri sendiri, sekali gus meraih semula sokongan orang Melayu," ujarnya.Chin Tong bagaimanapun mengingatkan bahawa era dominasi satu parti telah berakhir sejak PRU 2018 dan negara kini tidak lagi mempunyai sebuah parti yang benar-benar dominan.Tambah beliau, dalam landskap politik semasa, senario yang paling berkemungkinan bagi PRU16 ialah PH dan PN muncul sebagai dua blok utama, manakala BN menjadi pemain yang lebih kecil."Walaupun BN ketika ini dilihat mempunyai kelebihan dalam PRN Johor, kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada kejayaan dalam pilihan raya umum."PRU 2022 lalu merupakan contoh paling jelas. Daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, BN hanya memenangi sembilan kerusi, manakala PH berjaya meraih 15 kerusi," katanya.Chin Tong berharap pemimpin UMNO dan BN menyedari bahawa sebahagian besar rakyat tidak lagi mahu kembali kepada era dominasi UMNO.

Go to News Site