Collector
Podium Moto3 tingkat keyakinan Hakim Danish – Hafizh Syahrin | Collector
Podium Moto3 tingkat keyakinan Hakim Danish – Hafizh Syahrin
Sinar Harian

Podium Moto3 tingkat keyakinan Hakim Danish – Hafizh Syahrin

PELUMBA negara Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan bintang muda Muhammad Hakim Danish Ramli sebagai pelumba motosikal yang memiliki kelebihan untuk menyerlah dalam kedua-dua keadaan, litar kering dan basah.Bekas pelumba MotoGP berkenaan berkata kemampuan itu menjadikan pelumba yang lebih dikenali sebagai Hakim Danish itu antara prospek terbaik negara ketika ini, selain dibantu pasukan berpengalaman AEON Credit-MT Helmets-MSI yang pernah melahirkan juara dunia."Hakim Danish di litar basah pun sangat bagus. Jadi, beliau ada dua pakej, hujan boleh bawa, kering pun boleh bawa. Itu kelebihan yang kita ada sekarang."Berbanding sebelum ini, sesetengah pelumba ada yang cuma minat litar basah atau kering sahaja," katanya pada majlis RCB dan UMA Racing Memperkenalkan Barisan Atlet, Duta 2026 di Presint 8, Putrajaya pada Khamis.Hafizh Syahrin berkata beliau turut melihat peningkatan ketara dipamerkan Hakim Danish sepanjang musim ini, terutama selepas pelumba muda itu berjaya menyesuaikan diri dengan saingan di peringkat antarabangsa.Katanya, kejayaan meraih podium pada musim pertama sudah cukup membanggakan kerana saingan dalam kategori Moto3 sangat sengit dan kompetitif."Saya bangga dengan Hakim Danish. Dalam dua pusingan terakhir, beliau nampak sangat yakin dan menunjukkan peningkatan berbanding pada awal musim."Mungkin pada permulaan musim beliau agak gementar tetapi sekarang beliau tidak kelihatan seperti pelumba baharu lagi," katanya.Hafizh Syahrin berkata Hakim Danish kini hanya perlu mengekalkan konsistensi dan terus bekerja keras bagi memastikan momentum positif itu dapat diteruskan pada perlumbaan akan datang.Beliau turut yakin pelumba kelahiran Terengganu itu mampu mencatat keputusan lebih baik pada pusingan seterusnya di Catalunya berdasarkan prestasi memberangsangkan yang dipamerkannya di Mugello baru-baru ini.Baru-baru ini, Hakim Danish mencipta sensasi apabila menduduki tempat ketiga pada perlumbaan Grand Prix Itali di Litar Mugello.Pelumba berusia 18 tahun yang memulakan aksi di petak utama itu konsisten berada dalam kelompok hadapan sepanjang lima pusingan pertama.Beliau bagaimanapun ketinggalan di kelompok tengah pada laluan lurus terpanjang di GP Itali itu.Dalam pada itu, majlis RCB dan UMA Racing Memperkenalkan Barisan Atlet dan Duta 2026 menyaksikan beberapa pelumba negara terus mendapat sokongan kedua-dua jenama berkenaan bagi menghadapi musim baharu.Antara yang diumumkan ialah Hafizh Syahrin selaku juara bertahan ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Hakim Danish, Kasma Daniel Kasmayudin, Nazirul Izzat Muhamad Bahauddin serta pelumba muda Qabil Irfan Azlan. - Bernama

Go to News Site