Sinar Harian
SKUAD Norway mencuri perhatian menjelang saingan Piala Dunia 2026 apabila membawa lebih 300 kilogram (kg) ikan serta 116kg keju dan coklat ke kem latihan mereka di Amerika Syarikat (AS).Langkah luar biasa itu diambil bagi memastikan pemain kekal menikmati menu makanan yang biasa mereka ambil, sekali gus mengekalkan keselesaan dan rutin pemakanan sepanjang kejohanan berlangsung.Persiapan tersebut menjadi sebahagian daripada pendekatan serius Norway menjelang penampilan pertama mereka di pentas Piala Dunia sejak 1998, dengan generasi baharu diketuai Erling Haaland dan Martin Odegaard menggalas harapan tinggi negara itu.Norway akan beraksi dalam Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Iraq, menjadikan setiap aspek persiapan termasuk pemakanan sebagai elemen penting dalam usaha memastikan prestasi maksimum.Bagi memastikan aspek nutrisi terjaga, Norway turut membawa dua cef berpengalaman ke kem latihan di Greensboro, North Carolina termasuk Aron Espeland yang pernah meraih pingat emas Olimpik Kuliner 2020.Beliau berkata, proses membawa bahan makanan dalam jumlah besar merentasi Atlantik bukan sesuatu yang mudah, namun dianggap penting bagi mengekalkan standard pemakanan pemain."Kami mahukan bahan terbaik dari Norway dan memastikan pemain mendapat makanan seperti di rumah," katanya kepada media tempatan VG.Norway bakal menjalani aksi pemanas badan menentang Maghribi di New Jersey Isnin ini sebelum memulakan kempen Piala Dunia menentang Iraq di Stadium Gillette, Foxborough.Bagi Erling Haaland, kempen kali ini membawa makna besar selepas lama menyimpan impian untuk membawa Norway kembali ke pentas terbesar dunia sejak debut antarabangsa pada 2019."Sejak debut pada 2019, saya mahu membawa Norway ke Piala Dunia dan Euro. Kini kami mempunyai generasi yang kuat dan saya mahu membinanya bersama pasukan," katanya.
Go to News Site