Sinar Harian
JELI - Pas melihat keperluan untuk melakukan penjajaran semula politik Melayu-Islam menerusi usaha penyatuan lebih besar melibatkan pelbagai parti politik di negara ini bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, usaha tersebut sedang diteliti termasuk kemungkinan kerjasama dengan UMNO serta beberapa parti Melayu lain dalam kerangka lebih luas.Menurutnya, antara yang sedang diperhalusi termasuk parti seperti Pejuang, Berjasa serta kumpulan politik tertentu yang dikaitkan dengan gerakan Reset oleh bekas Timbalan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin."Kami nak kaji balik hubungan dengan UMNO dan dengan parti-parti kecil yang lain."Perlu satukan kekuatan untuk berdepan pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Jeli Kali Ke-44 di Ayer Lanas di sini pada Jumaat.Beliau berkata, Pas berpandangan penyatuan politik Melayu-Islam perlu diperkukuh bagi memastikan kekuatan blok tersebut lebih tersusun dan stabil.Tambah beliau, sebarang keputusan muktamad bagaimanapun akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti melalui mesyuarat rasmi.Sementara itu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut mengakui pihaknya berasa dikhianati oleh sesetengah parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa keadaan, khususnya melibatkan keputusan politik yang didakwa dibuat tanpa perbincangan bersama dalam mesyuarat gabungan PN.Beliau berkata, perkara itu antara yang akan dibawa ke perbincangan kepimpinan tertinggi parti dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak Pas yang dijadualkan berlangsung pada 8 Jun ini, bagi meneliti semula beberapa perkara berkaitan hubungan dalam gabungan berkenaan."Apabila ada keputusan yang dibuat tanpa dimaklumkan dalam mesyuarat, itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kita," katanya.Beliau bagaimanapun menegaskan Pas akan terus menghormati apa jua keputusan kepimpinan parti berhubung kedudukan dan hala tuju kerjasama politik pada masa akan datang.
Go to News Site