Collector
Kos komponen baja diunjur meningkat sehingga 100 peratus - KPKM | Collector
Kos komponen baja diunjur meningkat sehingga 100 peratus - KPKM
Sinar Harian

Kos komponen baja diunjur meningkat sehingga 100 peratus - KPKM

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengunjurkan kos komponen baja bagi tanaman seperti pisang boleh meningkat sehingga 100 peratus sekiranya krisis tenaga global terus berlanjutan akibat konflik di Selat Hormuz.Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan kos berkenaan merupakan antara kesan langsung diterima sektor pertanian negara susulan gangguan di laluan perkapalan strategik yang penting kepada perdagangan tenaga global itu.Menurut beliau, data setakat 3 Mei lalu menunjukkan harga baja urea telah merekodkan lonjakan drastik sebanyak 72 peratus ekoran krisis di Asia Barat berkenaan."Baja merupakan komponen terbesar yang menyumbang sehingga 50 peratus daripada kos pengeluaran, khususnya bagi tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan iaitu 40-50 peratus, serta tanaman padi iaitu 13 peratus."Sekiranya krisis berterusan, kos komponen baja bagi tanaman seperti pisang diunjurkan boleh meningkat sehingga 100 peratus."Selain itu, kapasiti dan produktiviti sektor pertanian juga akan terkesan berikutan kenaikan kos baja, kelewatan pembekalan baja dan pengurangan penggunaan baja sebagai langkah mengoptimumkan kos pengeluaran di peringkat ladang," katanya kepada Sinar Ahad.Mengulas lanjut, Mohamad berkata, selain input pertanian, komponen lain yang turut terkesan akibat konflik berkenaan ialah kos bahan api atau logistik.Katanya, penggunaan bahan api merupakan nadi kepada rantaian bekalan agromakanan negara.Beliau berkata, ia terutamanya diesel telah mencatat 70 hingga 80 peratus daripada kos operasi bagi bot nelayan, 20 hingga 50 peratus bagi jentera atau mesin pertanian, dan 10 hingga 40 peratus bagi pemprosesan racun serta baja."Krisis tenaga global, khususnya konflik yang mencetuskan lonjakan harga minyak mentah Brent telah memberikan impak langsung terhadap peningkatan ketara pada kos pengoperasian sektor agromakanan."Malah, penutupan Selat Hormuz turut secara langsung memberikan kesan ke atas peningkatan kos dan tempoh penghantaran bahan-bahan mentah seperti input pertanian," katanya.Ancaman dan risikoSementara itu, ditanya sama ada peningkatan harga tenaga sebagai ancaman kepada keterjaminan makanan negara dalam jangka panjang, Mohamad tidak menolak perkara tersebut, namun ia bergantung kepada beberapa perkara.Secara umum katanya, peningkatan harga bahan api telah menjejaskan sistem makanan secara global."Ancaman dan risiko kebergantungan terhadap bahan api dan produk sampingan petroleum seperti baja urea dan bahan petrokimia tentunya akan mempengaruhi keterjaminan makanan negara dalam jangka masa panjang."Tawaran harga bahan input pertanian dan bahan api pada kadar melebihi paras normal secara langsung telah meningkatkan kos pengeluaran sektor pertanian," katanya.Beliau berkata, situasi itu akan mengakibatkan pemindahan kos sepanjang rantaian bekalan, bermula dari peringkat ladang sehingga ke peringkat pengguna yang boleh mengakibatkan kenaikan kos sara hidup dan inflasi makanan.Dalam pada itu, KPKM juga turut melaksanakan inisiatif jangka panjang sebagai langkah mendepani cabaran dan kenaikan harga bahan api berkenaan.Menurutnya, tiga pelan tindakan mitigasi jangka panjang telah digariskan yang menumpukan kepada kecekapan tenaga, pengurangan kos logistik dan peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu seperti terkandung dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030)."Tiga pelan itu ialah pengintegrasian sisa pertanian ke dalam sistem tenaga mampan, penerima gunaan Sistem Pertanian Bersepadu yang melibatkan model pertanian regeneratif dan ekonomi kitaran serta penggubalan Akta Keterjaminan Makanan Negara," ujarnya.Pelan tindakanSelain itu, beliau berkata, KPKM juga telah mengenal pasti cadangan tindakan mitigasi baharu dan sedang meneliti kebolehlaksanaan cadangan tersebut seperti pewujudan stok penimbal bagi lain-lain komoditi dan input pertanian seperti baja dan penerokaan penghasilan baja domestik tempatan dengan menggunakan sisa industri Lynas.Menjawab pertanyaan mengenai subsektor pertanian yang paling terkesan akibat ketidaktentuan bekalan tenaga ketika ini, Mohamad berkata, impak semasa terhadap sektor agromakanan perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan struktur kos input yang merangkumi baja, makanan ternakan serta bahan api diesel yang banyak bergantung kepada pasaran global."Dalam konteks ini, kenaikan kos input import dan tenaga memberi kesan merentas semua subsektor, namun dengan intensiti yang berbeza mengikut struktur pengeluaran masing-masing."Bagi subsektor tanaman khususnya sayur-sayuran, impak utama adalah melalui kos baja, racun perosak dan diesel yang digunakan dalam aktiviti ladang serta pengangkutan hasil."Sementara itu, subsektor ternakan lebih terkesan secara signifikan kerana sebahagian besar kos pengeluaran bergantung kepada makanan ternakan yang diimport seperti jagung dan soya, menjadikan ia sangat sensitif kepada turun naik harga global," katanya.Bagi subsektor perikanan pula beliau berkata, ia dipengaruhi secara langsung oleh kos diesel yang merupakan komponen utama operasi nelayan.Dalam pada itu, ditanya mengenai langkah segera yang telah diambil kementerian bagi mengurangkan beban kos tenaga dalam kalangan pengusaha pertanian, Mohamad menjelaskan beberapa langkah segera telah diambil."Antara langkah segera diambil ialah meningkatkan bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi membantu petani, pesawah dan pekebun kecil menampung kenaikan kos bahan api diesel."Menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 untuk mengurangkan kos operasi pengeluaran padi," katanya.Selain itu, beliau berkata, meneruskan bantuan subsidi input pertanian seperti baja, benih dan racun bagi mengurangkan kesan peningkatan kos pengeluaran susulan krisis tenaga global dan sebagainya.Mohamad dalam masa sama menegaskan, KPKM komited memastikan sistem agromakanan negara kekal berfungsi, berdaya tahan dan mampu menjamin keterjaminan makanan negara walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global pada masa hadapan.

Go to News Site