Sinar Harian
PUTRAJAYA – Tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad dipaparkan dalam rakaman video tular yang mendakwa seorang lelaki warga Myanmar memiliki kad pengenalan berwarna biru baru-baru ini.Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, hasil semakan lanjut mendapati rakaman yang tersebar di media sosial itu tidak memaparkan sebarang bukti yang boleh mengesahkan dakwaan dibuat.Menurutnya, pihak polis telah menerima laporan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan urusan pengeluaran kad pengenalan kepada individu yang didakwa sebagai warganegara Myanmar pada jam 8.45 pagi, 5 Jun lalu."Siasatan awal mendapati terdapat satu hantaran video yang tular di Facebook menerusi akaun 'Na'am Ahmad' yang memaparkan serta mempersoalkan bagaimana seorang individu yang didakwa berasal dari Myanmar boleh memiliki MyKad berwarna biru."Hasil siasatan juga mendapati video tersebut merupakan rakaman yang telah diulang siar oleh pihak kedua," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, susulan itu, pihak polis telah merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tindakan semakan serta siasatan lanjut."Langkah itu diambil bagi memastikan kesahihan maklumat yang ditularkan," katanya.Aidi Sham berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu berkaitan isu berkenaan."Tindakan menyebarkan maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain mencemarkan nama baik pihak terlibat."Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap satu video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa warga Myanmar memiliki MyKad.Video berdurasi kira-kira satu minit 37 saat itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial selepas individu berkenaan didakwa memperoleh kad pengenalan Malaysia.
Go to News Site