Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa Kerajaan Madani menarik balik cadangan pengurangan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10 bilion yang didakwa boleh menjejaskan sektor kritikal negara, khususnya kesihatan dan pendidikan.Dalam sidang media di Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (MAKPEM) pada Isnin, pertubuhan itu menegaskan bahawa kesihatan dan pendidikan bukan sekadar komponen perbelanjaan biasa yang boleh dikurangkan ketika negara berdepan cabaran fiskal.Presidennya, Roslizawati Md Ali berkata, kedua-dua sektor tersebut merupakan pelaburan strategik yang menentukan kesejahteraan rakyat, produktiviti ekonomi serta masa depan negara."MyWATCH memahami tekanan fiskal yang dihadapi kerajaan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan krisis tenaga antarabangsa. Namun, pemotongan terhadap sektor kesihatan dan pendidikan bukanlah langkah yang tepat," katanya.Pada masa sama, katanya, satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada kerajaan dalam masa terdekat dengan sokongan lebih 35 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta lebih 37,000 tandatangan yang diperoleh menerusi kempen petisyen nasional.Pertubuhan itu turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai program, perkhidmatan dan agensi yang bakal terkesan sekiranya pengurangan peruntukan diteruskan.Menurut Roslizawati, ketelusan diperlukan bagi memastikan perkhidmatan penting seperti hospital awam, klinik kesihatan, bekalan ubat-ubatan, program pencegahan penyakit serta bantuan pemakanan dan pendidikan sekolah tidak menjadi mangsa langkah penjimatan.Selain itu, katanya, pertubuhan berkenaan mencadangkan kerajaan meneroka sumber hasil baharu yang lebih mampan melalui peningkatan cukai terhadap industri yang dikaitkan dengan kos sosial dan kesihatan awam."Antara sektor yang dicadangkan termasuk produk tembakau, vape dan nikotin, alkohol, minuman bergula, makanan ultra-proses serta industri yang menyumbang kepada pencemaran tinggi," katanya.Beliau berkata, MyWATCH berpendapat pendekatan berasaskan prinsip "Lindungi Kesihatan, Lindungi Pendidikan, Potong Pembaziran dan Cukai Kemudaratan" mampu membantu kerajaan meningkatkan hasil negara tanpa menjejaskan perkhidmatan asas kepada rakyat.Dalam perkembangan berkaitan, katanya, MyWATCH menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan tindakan mengeluarkan nikotin cecair daripada Jadual Racun sebagai tidak sah dan tidak rasional.Pertubuhan itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai kemenangan kepada kesihatan awam serta perlindungan kanak-kanak dan remaja daripada ketagihan nikotin.Sehubungan itu, kata Roslizawati, kerajaan diminta supaya tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut, sebaliknya memperkukuh dasar kawalan vape dan nikotin."MyWATCH turut menggesa pengharaman penjualan runcit vape yang mengandungi nikotin kepada orang awam, selain memperketat penguatkuasaan terhadap jualan dalam talian dan pemasaran yang menyasarkan golongan muda," katanya.Pada masa sama, pertubuhan itu sekali lagi menggesa kerajaan mengembalikan peruntukan Generational End Game (GEG) yang sebelum ini digugurkan daripada undang-undang kawalan tembakau negara.Menurut Roslizawati, dasar GEG penting bagi memastikan generasi akan datang tidak terjebak dalam kitaran ketagihan nikotin secara sah serta menghalang industri tembakau dan vape daripada terus merekrut pengguna baharu dalam kalangan belia."MyWATCH juga mencadangkan pelaksanaan mekanisme kenaikan cukai tembakau secara automatik setiap tahun berdasarkan faktor inflasi, pertumbuhan pendapatan dan kos rawatan kesihatan," katanya.Katanya, langkah itu bukan sahaja mampu mengurangkan kadar merokok dan penggunaan produk nikotin dalam kalangan golongan muda, malah berpotensi meningkatkan hasil kerajaan serta mengurangkan beban kos rawatan penyakit berkaitan tembakau.Mengakhiri sidang media, MyWATCH turut menggesa kerajaan melaksanakan segera Kod Tatakelakuan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) bagi memastikan proses pembentukan dasar awam bebas daripada pengaruh industri tembakau, vape dan nikotin.Menurut Roslizawati, ketelusan, integriti dan kepentingan kesihatan rakyat perlu menjadi asas utama dalam setiap keputusan dasar negara."Melindungi kesihatan, mempertahankan pendidikan, mencegah ketagihan nikotin dan memastikan integriti proses dasar adalah tanggungjawab yang saling berkait dan mesti terus menjadi keutamaan negara," katanya.MyWATCH ialah organisasi advokasi kesihatan awam komited untuk memajukan advokasi kawalan tembakau, mengurangkan penyakit tidak berjangkit, dan mempromosikan dasar kesihatan berasaskan bukti (evidence-based) di Malaysia.MyWATCH berusaha untuk melindungi populasi, terutama wanita dan kanak-kanak, dari terdedah kepada bahaya tembakau dan risiko kesihatan lain yang boleh dicegah.
Go to News Site