Collector
Pencegahan rasuah perlu diterapkan menerusi pendidikan, reformasi sistem | Collector
Pencegahan rasuah perlu diterapkan menerusi pendidikan, reformasi sistem
Sinar Harian

Pencegahan rasuah perlu diterapkan menerusi pendidikan, reformasi sistem

PUTRAJAYA – Pendekatan pencegahan rasuah menerusi pendidikan antirasuah, penambahbaikan sistem serta penutupan ruang yang berpotensi membuka peluang kepada salah guna kuasa perlu diberi perhatian berterusan bagi membendung gejala berkenaan daripada terus menular.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Abdul Rahman berkata, usaha itu perlu diperkukuh menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja menumpukan kepada penguatkuasaan, malah memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan pembaharuan sistem.Menurutnya, prinsip berkenaan terkandung dalam salah satu daripada lima prinsip utama yang diperkenalkan sebagai teras kepimpinan beliau dalam memacu SPRM sebagai institusi penguatkuasaan antirasuah yang berintegriti, profesional dan diyakini masyarakat."Lima prinsip tersebut ialah Integriti Tanpa Kompromi, Penguatkuasaan Yang Adil, Pencegahan Lebih Baik Daripada Hukuman, Teknologi dan Ketelusan serta Membina Kepercayaan Rakyat."Reformasi sebenar berlaku melalui semakan terhadap akta dan pelbagai usaha pembaharuan lain. Inilah agenda yang akan difokuskan dari semasa ke semasa," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan SPRM di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.Beliau berkata, prinsip Integriti Tanpa Kompromi menuntut setiap warga SPRM menjunjung nilai amanah dan keberanian dalam melaksanakan tugas tanpa tunduk kepada sebarang tekanan atau kepentingan tertentu.Katanya, prinsip Penguatkuasaan Yang Adil pula memastikan setiap tindakan yang diambil berasaskan fakta serta undang-undang tanpa mengira kedudukan, pengaruh mahupun latar belakang individu yang disiasat."Pendekatan Pencegahan Lebih Baik Daripada Hukuman perlu diperkukuh melalui pendidikan antirasuah, penambahbaikan sistem dan penutupan ruang yang boleh membuka peluang kepada salah guna kuasa."Selain itu, gunakan data digital, pemantauan transaksi serta sistem aduan yang mudah dan selamat supaya rakyat yakin untuk melapor," katanya.Abd. Halim berkata, SPRM juga mengakui kekuatan institusi itu bergantung kepada tahap kepercayaan rakyat terhadap kebebasan, profesionalisme dan keadilan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan."Untuk maksud itu, kita akan memberi penekanan kepada elemen ketelusan dalam apa jua tindakan yang dilakukan," ujarnya.

Go to News Site