Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Seorang bayi lelaki ditemukan ditinggalkan di dalam sebuah surau di kawasan Taman Daya di sini pada tengah hari Ahad.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan berhubung penemuan bayi itu diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pemandu pada jam 2.40 petang.Menurutnya, saksi menemui bayi berkenaan ketika hadir ke surau untuk menunaikan solat kira-kira jam 12 tengah hari sebelum menghubungi Balai Polis Setia Indah dan Hospital Sultan Ismail untuk tindakan lanjut."Siasatan awal mendapati suspek dipercayai seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an yang bertindak meletakkan bayi tersebut di kawasan berhampiran tabung surau," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan."Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan."Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323," katanya.
Go to News Site