Collector
Kerajaan digesa semak semula dasar pembangunan digital secara dalaman - MTEM | Collector
Kerajaan digesa semak semula dasar pembangunan digital secara dalaman - MTEM
Sinar Harian

Kerajaan digesa semak semula dasar pembangunan digital secara dalaman - MTEM

KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan menyemak semula dasar pembangunan perkhidmatan digital secara dalaman bagi melindungi ekosistem syarikat teknologi maklumat (IT) Bumiputera daripada terus terjejas.Ahli Lembaga Pemegang Amanah MTEM, Mohammad Syahnis berkata, pihaknya menghargai komitmen Perdana Menteri dalam memelihara kedaulatan data dan keselamatan digital negara.Bagaimanapun, ujarnya, pelaksanaan dasar berkenaan secara menyeluruh tanpa pengecualian dikhuatiri membawa implikasi serius terhadap struktur ekonomi digital Bumiputera.Menurut beliau, jika arahan itu diteruskan, ia bakal memberi impak jangka pendek yang buruk termasuk risiko kehilangan kontrak dan sumber pendapatan serta-merta bagi ratusan syarikat IT Bumiputera yang bergantung kepada projek digitalisasi kerajaan."Syarikat-syarikat ini terdedah kepada krisis tunai yang boleh memaksa penutupan operasi dan pemberhentian kerja secara besar-besaran, sekali gus menjejaskan ribuan pekerja mahir tempatan."Malah, peralihan mengejut ini juga berisiko mengganggu projek digitalisasi sedia ada kerana kapasiti sektor awam mungkin belum bersedia sepenuhnya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.Mohammad berkata, dalam jangka panjang, dasar itu berpotensi menghapuskan hasil pelaburan kerajaan selama berdekad-dekad dalam membina ekosistem usahawan teknologi Bumiputera melalui agensi seperti Dana Penjana Teknologi, Cradle Fund, TERAJU dan Kementerian Digital.Beliau turut memberi amaran mengenai ancaman krisis lambakan modal insan atau brain drain yang disifatkan sebagai antara kesan paling membimbangkan."Apabila industri tempatan tidak lagi mampu menawarkan peluang kerjaya yang menjanjikan, pakar keselamatan siber, jurutera perisian dan pakar kecerdasan buatan (AI) kita akan berhijrah ke negara luar seperti Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat."Ini adalah satu kerugian besar apabila negara menanggung kos pendidikan mereka, tetapi hasilnya dituai oleh negara luar," ujarnya lagi.Bagi menangani kemelut itu, MTEM mengemukakan enam gesaan utama kepada kerajaan, termasuk mengehadkan pembangunan in-house hanya kepada sistem data yang amat sulit dan kritikal, manakala projek lain terus dibuka kepada syarikat IT Bumiputera.Selain itu, MTEM mencadangkan model kerjasama awam-swasta dengan kerajaan mengekalkan kawalan ke atas kod sumber (source code) melalui kontrak yang ketat tanpa mengetepikan sektor swasta.Persatuan itu turut menggesa kerajaan mengutamakan syarikat IT Bumiputera sebagai rakan strategik berbanding syarikat asing atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memonopoli, selain menyediakan tempoh peralihan yang munasabah kepada syarikat terjejas untuk menyesuaikan model perniagaan masing-masing.MTEM juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa konsultasi industri yang melibatkan MTEM dan asosiasi industri IT bagi merangka pelaksanaan dasar yang lebih inklusif, selain memperluaskan penerapan inisiatif MySTI kepada semua syarikat IT, khususnya syarikat Bumiputera.MTEM menegaskan matlamat keselamatan data negara seharusnya dicapai seiring dengan usaha mengukuhkan ekosistem teknologi tempatan, bukannya dengan mengorbankan salah satu daripadanya.Persatuan itu turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama kerajaan pada bila-bila masa bagi merangka jalan penyelesaian yang lebih bersepadu.

Go to News Site