Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Menawarkan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran di media sosial antara taktik digunakan sindiket penipuan belian dalam talian untuk memperdaya mangsa.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan belian dalam talian yang semakin licik dengan menggunakan pelbagai platform media sosial bagi memerangkap pembeli.Menurutnya, sindiket terbabit mempunyai modus operandi yang tersusun bagi menjerat individu yang mencari barangan pada harga lebih rendah berbanding pasaran."Mereka memulakan jerat dengan memaparkan iklan yang sangat menarik di media sosial dan platform dalam talian."Harga yang ditawarkan pula terlalu murah dan tidak masuk akal selain disertakan pelbagai tawaran menarik bagi memancing perhatian mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, sebaik sahaja mangsa menunjukkan minat terhadap iklan berkenaan, suspek akan bertindak pantas membalas mesej dengan memberikan maklumat produk bagi meyakinkan pembeli.Katanya, komunikasi yang digunakan juga bersifat mesra pelanggan bagi membina kepercayaan mangsa dalam tempoh singkat."Selepas mangsa mula percaya, mereka akan diminta membuat pindahan wang segera ke akaun bank yang diberikan kononnya bagi mengelakkan barangan tersebut kehabisan stok."Selepas bayaran dibuat, suspek akan memberikan resit atau nombor pengesanan palsu bagi meredakan kebimbangan mangsa buat sementara waktu," katanya.Menurut beliau, apabila mangsa mula bertanyakan status pembelian selepas tempoh tertentu, suspek akan memberikan pelbagai alasan termasuk masalah stok atau kelewatan penghantaran."Pada peringkat akhir, suspek akan menghilangkan diri dengan menyekat nombor telefon serta akaun media sosial mangsa sehingga tiada lagi saluran untuk dihubungi," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera bertindak sekiranya menyedari diri menjadi mangsa penipuan belian dalam talian.Katanya, mangsa perlu menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh kurang 24 jam bagi meningkatkan peluang mengesan dan menyekat aliran wang yang dipindahkan."Pelaporan segera memberi peluang lebih tinggi kepada pihak bank dan pihak berkuasa untuk mengesan transaksi serta menyekat akaun bank yang digunakan sindiket," katanya.
Go to News Site