Collector
Gempa Mindanao: APM digerak pantau kawasan di Sandakan, situasi terkawal - Ahmad Zahid | Collector
Gempa Mindanao: APM digerak pantau kawasan di Sandakan, situasi terkawal - Ahmad Zahid
Sinar Harian

Gempa Mindanao: APM digerak pantau kawasan di Sandakan, situasi terkawal - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan bagi memantau kawasan pesisir pantai di daerah Sandakan, Sabah sebagai langkah siap siaga susulan gempa bumi kuat yang melanda wilayah Mindanao, Filipina, pagi tadi.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kawasan pemantauan melibatkan Taman Harmoni, Kampung Forest, Sim-Sim, Pusat Bandar Sandakan dan Pasir Putih.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, hasil pemantauan setakat ini mendapati keadaan di lokasi terlibat selamat dan terkawal tanpa sebarang kejadian luar biasa."Saya mengambil maklum gegaran yang turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah serta amaran awal tsunami yang telah dikeluarkan oleh MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) sebelum ini. "Alhamdulillah, amaran itu kini telah ditamatkan. Bagaimanapun, saya menyeru seluruh rakyat, khususnya di Sabah agar terus berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada rakyat Filipina yang terkesan dengan bencana tersebut serta mendoakan semua mangsa dan keluarga mereka diberikan kekuatan."Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan sebagai sahabat dan rakan ASEAN yang akrab," katanya.Ahmad Zahid turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu yang boleh mencetuskan panik, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi MetMalaysia untuk maklumat terkini yang tepat.Setakat ini, sebanyak 15 orang dilaporkan maut dan sekurang-kurangnya 134 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 7.9 magnitud melanda Mindanao pada jam 7.37 pagi Insin. - Bernama

Go to News Site