Sinar Harian
SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan sebarang seruan yang menghasut orang ramai supaya bertindak ganas terhadap komuniti Rohingya bukan sahaja bercanggah dengan prinsip undang-undang dan kemanusiaan malah bertentangan dengan ajaran Islam.Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya kesal dengan perkembangan naratif kebencian melampau kepada golongan pelarian itu oleh sebahagian pengguna media sosial mutakhir ini.Menurut beliau, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat kenyataan yang menghasut orang ramai mengambil tindakan sendiri termasuk mengancam atau melakukan kekerasan terhadap mana-mana individu Rohingya yang ditemui.Katanya, seruan sedemikian bertentangan dengan ajaran Islam yang menegakkan keadilan serta memelihara kemuliaan setiap insan."ABIM memahami bahawa sebahagian rakyat mempunyai kebimbangan dan keresahan yang nyata berkaitan isu keselamatan, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan, kebersihan persekitaran serta keharmonian sosial yang dikaitkan dengan kehadiran komuniti pelarian."Namun demikian, keresahan tidak boleh bertukar menjadi kebencian terhadap keseluruhan kelompok manusia. Islam mengajar kita berlaku adil dalam menilai sesuatu perkara. Jika terdapat individu yang melakukan kesalahan, tindakan hendaklah diambil terhadap mereka yang bersalah tanpa menghukum seluruh komuniti secara kolektif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Isu Rohingya kembali menjadi perhatian apabila kemarahan dan sentimen anti-pelarian itu semakin memuncak di media sosial sejak kebelakangan ini.Situasi berkenaan turut mendorong Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa orang ramai menghentikan komen berunsur kebencian dan diskriminasi terhadap komuniti berkenaan.Ahmad Fahmi berkata, perbuatan menyalahkan keseluruhan kelompok atas kesalahan segelintir bukan sahaja tidak adil malah hanya akan menambahkan lagi ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.Ujar beliau, ABIM mengajak seluruh masyarakat untuk beristighfar, bertenang dan kembali berpegang kepada nilai Islam yang menuntut keadilan, rahmah, adab serta pemeliharaan maruah setiap insan."Golongan pelarian termasuk etnik Rohingya adalah kelompok tertindas yang memerlukan perlindungan.''Mereka bukan meninggalkan tanah air semata-mata untuk mencari kesenangan hidup tetapi kerana terpaksa menyelamatkan diri daripada penindasan, penganiayaan dan ancaman terhadap keselamatan mereka," jelasnya.Ahmad Fahmi memaklumkan, ABIM tidak menafikan terdapat cabaran dan isu yang perlu ditangani bersama dalam hubungan antara masyarakat tempatan dan komuniti pelarian.Bagaimanapun, katanya, penyelesaiannya bukan melalui kebencian, penghinaan kaum atau keganasan sebaliknya melalui pendekatan yang adil, berhikmah dan bertanggungjawab."ABIM menggesa agar kerajaan terus memperkukuh pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mengurus isu pelarian termasuk aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan, perlindungan golongan rentan serta hubungan dengan komuniti setempat.''Pendekatan yang berkesan mestilah mampu melindungi kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengorbankan prinsip kemanusiaan dan keadilan yang menjadi asas sebuah negara bertamadun," kata beliau.
Go to News Site