Collector
Tahun lalu sambut Aidiladha bersama, tahun ini hadir majlis setahun kematian | Collector
Tahun lalu sambut Aidiladha bersama, tahun ini hadir majlis setahun kematian
Sinar Harian

Tahun lalu sambut Aidiladha bersama, tahun ini hadir majlis setahun kematian

KOTA BHARU – Jika Aidiladha tahun lalu disambut bersama anak-anak yang pulang bercuti ke kampung, tahun ini ibu bapa kepada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Gerik hadir ke majlis memperingati genap setahun pemergian insan tersayang.Suasana pilu menyelubungi Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 apabila waris mengimbau kembali kenangan Aidiladha terakhir bersama anak masing-masing sebelum tragedi yang menggemparkan negara pada 9 Jun tahun lalu.Nik Nor Zabir Nik Chik, 66, bapa kepada Allahyarham Nik Amni Nadiah, 21, yang merupakan antara 15 pelajar UPSI maut dalam nahas itu berkata, kenangan bersama anak bongsunya itu masih segar dalam ingatan walaupun sudah setahun berlalu.Katanya, Aidiladha tahun lalu merupakan sambutan terakhir bersama Allahyarham yang ketika itu banyak membantu keluarga menguruskan ibadah korban."Tahun lepas kami sambut Aidiladha bersama-sama dan dialah yang banyak membantu urusan korban dan kerja-kerja rumah."Arwah seorang anak yang baik dan sangat rapat dengan ibunya. Sejak kehilangannya, rutin kami setiap Jumaat adalah menziarahi kuburnya di Kampung Raja, Besut," katanya.Menurutnya, jarak antara rumah dan pusara Allahyarham hanya kira-kira satu kilometer, sekali gus memudahkan dia dan isteri, Aziah Yusuff, 66, serta keluarga menziarahinya setiap minggu."Aidiladha baru-baru ini sangat terasa kerana sebelum ini arwah sangat aktif membantu keluarga ketika korban, namun kali ini semua itu hanya tinggal kenangan buat kami," katanya.Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.Pada majlis itu, UPSI turut menyampaikan bantuan RM5,000 kepada setiap keluarga dan pelajar yang terlibat dalam tragedi berkenaan selain menyerahkan buku bertajuk UPSI Berduka yang mendokumentasikan tragedi serta perjalanan pengurusan insiden tersebut.Mengulas lanjut, Nik Nor Zabir berkata, sehingga kini rakan-rakan Allahyarham masih menghubungi keluarga mereka untuk bertanya khabar dan berkongsi kenangan bersama arwah."Kami terharu dengan keprihatinan rakan-rakan arwah yang masih bertanya khabar dan tidak melupakan kami sekeluarga."Kami juga berterima kasih kepada UPSI yang sentiasa mengambil berat serta terus mendampingi keluarga mangsa walaupun sudah setahun tragedi itu berlalu," katanya.Sementara itu, mewakili ibu bapa mangsa yang terkorban, Rosdi Yunus, 56, bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif, merakamkan penghargaan kepada UPSI atas sokongan berterusan yang diberikan kepada keluarga mangsa sejak hari pertama tragedi berlaku.Menurutnya, warga universiti tidak pernah jemu bertanya khabar, menghulurkan bantuan dan mendampingi waris dalam menghadapi kehilangan anak-anak mereka."Bagi pihak seluruh ibu bapa mangsa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UPSI atas segala usaha, pengorbanan dan keprihatinan yang diberikan sepanjang tempoh setahun lalu."Kami bukan sahaja terlibat dalam pelbagai program yang dianjurkan UPSI, malah turut diberi peluang menunaikan umrah hasil tajaan kepada ibu bapa yang kehilangan anak-anak dalam tragedi ini," katanya.Menurut Rosdi, walaupun masa terus berlalu, kenangan terhadap anak-anak yang terkorban masih segar dalam ingatan dan ramai ibu bapa masih menziarahi pusara mereka bagi melepaskan rindu serta mendoakan kesejahteraan anak-anak di alam sana."Tahun lalu kami menghantar anak-anak pulang ke kampus dengan penuh harapan untuk melihat mereka berjaya, namun ketentuan ALLAH SWT mengatasi segala-galanya."Pemergian mereka meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin dapat diganti, tetapi kasih sayang dan kenangan bersama mereka akan terus hidup dalam hati kami buat selama-lamanya," katanya.Media sebelum ini melaporkan, 15 pelajar UPSI maut manakala puluhan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas serta sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik kira-kira jam 1.10 pagi pada 9 Jun tahun lalu.Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas tamat cuti Aidiladha.

Go to News Site