Sinar Harian
SHAH ALAM - Akar umbi UMNO di Endau berharap pemilihan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau mengambil kira calon muda, mempunyai sokongan kuat daripada jentera serta tidak mempunyai rekod lompat parti susulan khabar angin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib, bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.Bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Abdul Hakim Rahmat berkata, beliau telah menjalankan satu kaji selidik dan mendapati sentimen dalam kalangan ahli serta penyokong UMNO di Endau ketika ini lebih cenderung kepada calon tempatan yang telah lama berkhidmat dan setia bersama parti.Menurutnya, beliau tidak memihak kepada mana-mana individu, namun berpandangan keputusan memilih calon perlu mengambil kira kehendak akar umbi bagi memastikan peluang kemenangan BN dapat dipertahankan."Saya bercakap sebagai orang yang sayangkan UMNO. Ramai dalam kalangan ahli berpendapat calon yang dipilih mestilah mereka yang telah lama berkorban dan bekerja untuk parti."Bukan soal menyokong mana-mana calon tertentu, tetapi soal memastikan calon yang dipilih benar-benar diterima oleh jentera dan pengundi setempat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Sebelum ini, Abdul Hakim memuat naik satu hantaran tanpa merujuk atau memetik nama sesiapa, namun ia menimbulkan tanda tanya berhubung calon berusia 65 tahun yang hendak diangkat sebagai calon DUN Endau.Pada Khamis lalu, Alwiyah yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Mersing mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO.Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN Endau.Alwiyah berkata, keputusan tersebut turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam Bersatu dan dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.Abdul Hakim mendakwa kemenangan Alwiyah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana ketika itu terdapat faktor lain yang mempengaruhi keputusan pengundi, termasuk sentimen terhadap calon lawan serta sokongan daripada penyokong Perikatan Nasional (PN).Beliau menjelaskan, keadaan politik semasa di Endau kini berbeza dan sebarang percaturan calon perlu dibuat berdasarkan realiti semasa."Jika mahu menang, kepimpinan perlu mendengar suara jentera di bawah dan bukan semata-mata bergantung pada pandangan pihak luar."Saya berpandangan ramai dalam UMNO tidak melihat Alwiyah sebagai calon yang sesuai. Selain pernah meninggalkan parti, ramai juga berpendapat sudah tiba masanya UMNO memberi peluang kepada calon yang lebih muda."Beliau turut mendakwa terdapat dalam kalangan ahli UMNO di peringkat cawangan yang tidak bersedia untuk bekerja sekiranya Alwiyah dipilih sebagai calon BN.Katanya, UMNO mempunyai ramai calon yang layak dan berpotensi untuk diketengahkan, termasuk dalam kalangan pemimpin muda yang telah lama berkhidmat kepada parti."Kita tidak mempromosikan mana-mana individu, tetapi UMNO perlu memberi keutamaan kepada mereka yang setia, berkorban masa dan tenaga mempertahankan parti ketika susah."Jangan sampai hak akar umbi untuk menentukan calon diketepikan hanya kerana keputusan dibuat oleh pihak tertentu di peringkat atasan," ujarnya.
Go to News Site