Sinar Harian
SHAH ALAM – Pas mengesahkan surat yang dihantar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini merupakan jawapan balas terhadap surat yang lebih awal dikemukakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, surat berkenaan dihantar sebagai respons kepada surat Bersatu bertarikh 25 Mei lalu yang mengandungi penjelasan terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan Pas-Bersatu."Surat Bersatu itu bertarikh 25 Mei 2026. Panjangnya 13 muka surat. Isi kandungannya adalah respons balas Bersatu terhadap satu sidang media oleh Presiden Pas usai kuliah pagi Jumaat di Rusila pada 22 Mei 2026 lalu, mengenai hubungan Pas-Bersatu."Oleh kerana ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan Pas dengan lebih lanjut dan terperinci, maka Pas menjawab surat itu. Panjang surat Pas hanya lapan muka surat sahaja," katanya dalam satu hantaran di Facebook.Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tekad Bersatu untuk terus memelihara hubungan baik dengan Pas dalam PN.Bekas Pengerusi PN itu berkata, beliau telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas bertarikh 6 Jun 2026 mengenai hubungan Bersatu dan Pas serta cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan PN."Saya akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk diteliti," ujarnya.Afnan Hamimi menjelaskan, susulan kenyataan Muhyiddin tersebut, ada pihak yang bertanya mengenai surat yang dikatakan dihantar Pas kepada Bersatu."Ada yang bertanya. Surat apa yang Pas hantar kepada Bersatu seperti yang disebut dalam kenyataan media Bersatu. Suka untuk diberitahu, ia adalah surat jawapan balas dari Pas terhadap surat yang Presiden Bersatu hantar sebelum ini."Pas tidak buat kenyataan media semata-mata nak beritahu ia menerima surat dan menjawab surat. Itulah ceritanya," kata beliau.
Go to News Site