Sinar Harian
KOTA BHARU - "Saya tengok depan mata, rumah yang baharu siap dibaik pulih hangus terbakar."Demikian kata Miss Sanma Mateaha, 43, yang menangis dan terkedu selepas tidak dapat menahan sebak melihat tempat berteduh bersama suami, Nasrun Ibrahim, 55, serta tiga anak musnah sekelip mata bersama 14 lagi kediaman lain dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini pada Isnin.Menurut pewarna batik itu, dia mendapat panggilan telefon sekitar jam 12.30 tengah hari daripada jiran tetangga memaklumkan tentang kebakaran tersebut.Katanya, pada awal rumah yang telah didiami sejak 16 tahun itu belum lagi terbakar, namun apabila dia sampai di hadapan kediamannya, api mulai marak."Disebabkan panik saya tercari-cari anak-anak di dalam rumah namun tidak ditemui. Saya terlupa mereka bersekolah hari ini."Saya tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda, hanya mampu membawa keluar dokumen penting dan melihat rumah hangus terbakar sambil menangis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.Miss Sanma memberitahu, ruang tamu baharu dibina pada Aidilfitri lalu dengan kos RM20,000 itu adalah hasil sumbangan ibu saudaranya yang ingin melihat dia dan keluarga hidup dalam keadaan selesa.Pembantu klinik, Eami Zarini Nasir, 43, pula memberitahu dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa rumah didiami sejak lahir itu."Saya tinggal bersama adik bongsu di rumah ini. Paling saya terkilan bila memikirkan duit untuk baiki rumah berjumlah RM3,000 yang dikumpulkan juga hangus bersama barangan kemas."Kedua ibu bapa kami sudah tiada. Kami pula tujuh beradik dan saya anak kedua yang memegang amanah menjaga rumah ini bersama adik bongsu," katanya.Bagi pekerja pasar raya, Nazira Ibrahim, 46, memberitahu, dia dimaklumkan oleh ibu saudara tentang kejadian berkenaan sekitar jam 12.30 tengah hari.Ujarnya, selain tinggal sehelai sepinggang, dia sangat sedih apabila memikirkan barang kemas yang terbakar selain duit simpanan dan telefon anak."Buat masa sekarang saya bersama tiga anak yang berusia tujuh hingga 17 tahun tidak tahu hendak menumpang di mana. Kami hanya mampu berdoa semoga urusan pemadaman kebakaran dapat diselesaikan dengan baik," katanya.Sementara itu Komander Operasi, Penguakuasa Bomba Kanan II, Khairul Arifin Che Ramli berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati, sebanyak 15 buah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini pada Isnin.Kata beliau, kedudukan rumah kayu yang terlalu rapat menyebabkan api mudah merebak."Punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.Sebelum itu Sinar Harian Online melaporkan, sebanyak 10 rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Cina di sini pada Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 12.34 tengah hari itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II Zuzuki Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi.Menurutnya, anggota dari BBP Kota Bharu dan BBP Kota Darul Naim bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman."Penilaian awal mendapati kebakaran melibatkan 10 unit rumah jenis separuh kekal dan tidak melibatkan mangsa," katanya pada Isnin.Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba dengan bantuan lima jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan dua lori tangki air digerakkan bagi mengawal kebakaran.
Go to News Site