Sinar Harian
SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa pemimpin UMNO memperdayakan ahli parti berhubung hubungan dengan DAP.Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, DAP juga berdepan situasi sama apabila terdapat dalam kalangan ahlinya yang tidak bersetuju dengan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)."Jika Anthony mahu mengatakan pemimpin UMNO menipu ahlinya, bukankah DAP juga berdepan perkara yang sama?"Realitinya, DAP sudah memperdayakan ahlinya sejak 2022 dan akan terus berdepan persoalan sama menjelang pilihan raya akan datang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Sebelum ini, Anthony dilaporkan membidas kenyataan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan beliau sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar berbanding bekerjasama dengan DAP.Onn Hafiz sebelum itu menegaskan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan rela melepaskan jawatan sekiranya keadaan tersebut berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.Dalam hantaran sama, Ahmad Fadhli turut memuat naik tangkap layar dua laporan berita berkaitan gesaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) supaya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dipecat daripada Kabinet serta cadangan agar kerjasama antara PH dan BN dikaji semula.Menurutnya, tindakan DAPSY itu menunjukkan wujud perbezaan pandangan dalam DAP berhubung kerjasama dengan BN."Anthony mahu menyindir Menteri Besar Johor kerana tidak mahu bekerjasama dengan DAP, sedangkan Presiden UMNO dan Setiausaha Agung DAP duduk semeja dalam kerajaan setiap minggu."Namun, DAPSY sendiri pernah menggesa Mohamad Hasan dipecat sebagai menteri dan meminta kerjasama PH-BN dikaji semula. Ini menunjukkan tidak semua pihak dalam DAP selesa dengan hubungan tersebut," katanya.
Go to News Site