Collector
Gempa bumi Mindanao: Rakyat Malaysia di General Santos City selamat - Wisma Putra | Collector
Gempa bumi Mindanao: Rakyat Malaysia di General Santos City selamat - Wisma Putra
Sinar Harian

Gempa bumi Mindanao: Rakyat Malaysia di General Santos City selamat - Wisma Putra

PUTRAJAYA - Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City berjaya menghubungi warganegara Malaysia yang menetap di General Santos City, dan mengesahkan bahawa mereka kini berada dalam keadaan selamat susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Mindanao pada jam 7.37 pagi Isnin.Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat 59 warganegara Malaysia yang berdaftar secara rasmi dengan Konsulat Jeneral di Davao City."Konsulat Jeneral sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Filipina yang berkaitan bagi memantau keselamatan keseluruhan komuniti warganegara Malaysia di rantau terbabit."Warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan yang terjejas dinasihatkan dengan tegas untuk kekal berwaspada, segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya berada berhampiran dengan pantai, dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan serta pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Filipina," menurut kenyataan itu.Kementerian Luar, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City dan Kedutaan Besar Malaysia di Manila, sedang memantau secara berterusan perkembangan, susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Mindanao pada 7.37 pagi Isnin.Pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan amaran tsunami dan melaporkan kejadian gempa susulan yang berterusan di seluruh kawasan yang terjejas, menurut kementerian.Sebagai tindak balas kepada bencana itu, pihak berkuasa di Davao City mengarahkan penutupan semua sekolah dan pejabat kerajaan, serta terdapat laporan bahawa pelbagai bangunan di General Santos City mengalami kerosakan struktur yang ketara, termasuk keruntuhan beberapa struktur bangunan.Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) mengumumkan pembatalan pelbagai penerbangan domestik, terutamanya melibatkan laluan ke dan dari General Santos, Manila, Cebu dan Iloilo, susulan penilaian keselamatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di lapangan terbang yang terjejas."Warganegara Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas akibat gangguan ini dinasihatkan untuk berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini penerbangan dan pengaturan penjadualan semula," menurut kenyataan itu.Bagi memudahkan komunikasi serta bantuan konsular, kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan mereka secara berkala menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City menerusi talian kecemasan +63 951 816 6125.Sekiranya Konsulat Jeneral tidak dapat dihubungi berikutan jumlah panggilan yang tinggi atau masalah gangguan komunikasi semasa tempoh kritikal ini, Kedutaan Besar Malaysia di Manila boleh dihubungi melalui talian pertanyaan am +63 2 8662 8200, talian kecemasan selepas waktu pejabat +63 961 077 8113 atau e-mel [mwmanila@kln.gov.my](mailto:mwmanila@kln.gov.my).Wisma Putra akan terus memaklumkan perkembangan terkini sekiranya perlu, menurut kenyataan itu. - Bernama

Go to News Site