Sinar Harian
SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan mendakwa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke seperti duduk di bawah tempurung kerana gagal melihat putaran ganas politik yang tidak lagi 'rigid'.Mohd Puad berkata, tiada salahnya Barisan Nasional (BN) dan DAP bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi memutuskan bergerak berasingan di peringkat negeri.Menurutnya, kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan BN sekurang-kurangnya boleh menjadi pengimbang kepada kerajaan pusat yang dibentuk atas dasar 'ihsan'."Kita sertai kerajaan pusat agar kerajaan tidak tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (pada Ahad) kata lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP selepas PRN Johor."Anthony tersinggung, menurut beliau Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setiap minggu duduk bersebelahan dengannya dalam mesyuarat Kabinet."Nampaknya Anthony duduk di bawah tempurung. Dia gagal melihat putaran ganas politik yang tidak lagi 'rigid'. Apa salahnya di (peringkat) Persekutuan kita bekerjasama, tetapi di (peringkat) negeri kita masing masing?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Bagaimanapun, Mohd Puad berpandangan, ia bukan bermakna BN tidak mahu duduk semeja dengan DAP jika membabitkan kepentingan rakyat di Johor."Seperti apa yang berlaku sekarang, ada masalah ke? Johor tetap makmur, yang penting masing masing ikhlas bekerjasama," ujarnya.Sebelum ini, Onn Hafiz ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity dilapor menolak untuk bekerjasama dengan DAP.Beliau sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas PRN Johor.Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu, realiti politik di Johor berbeza di peringkat Persekutuan apabila kerjasama BN khususnya UMNO dan DAP tidak pernah terjalin selama ini.
Go to News Site