Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Sinar Harian merangkul tempat ketiga dalam kategori Berita (Media Cetak dan Portal Berita) pada Anugerah Media Agrobank 2026 pada Isnin.Kemenangan itu diperoleh menerusi laporan khas muka depan bertajuk 'Baja lewat, negara rugi jutaan ringgit' dihasilkan oleh wartawan Nurul Huda Husain, Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor, Siti Zubaidah Zakaria dan Nurul Hidayah Hamid.Sementara itu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dalam ucapan perasmiannya berkata, di peringkat kerajaan, kementerian khususnya sentiasa komited untuk memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan sebagai sektor strategik yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan bekalan makanan negara.Menurutnya, dalam menjayakan agenda ini, peranan media amat penting, media bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah membantu membina kefahaman, keyakinan dan minat terhadap sektor agro yang semakin moden, berdaya maju dan mempunyai potensi besar untuk generasi masa depan."Sektor pertanian dan agromakanan hari ini bukan sekadar sebuah sektor ekonomi, malah merupakan tunjang penting kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara."Dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dan peningkatan kos pengeluaran, agenda keterjaminan makanan menjadi semakin penting dan memerlukan komitmen semua pihak."Dalam konteks ini, media memainkan peranan yang amat signifikan sebagai jambatan antara dasar kerajaan, pemain industri dan masyarakat," katanya.Hadir sama, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr Ainol Amriz Ismail; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa.Dalam pada itu, Foong Hin berkata, melalui laporan, rencana, dokumentari serta pelbagai bentuk kandungan kreatif, media membantu meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu-isu berkaitan pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara.Ujarnya, lebih penting, media turut berperanan mengetengahkan kisah kejayaan petani, penternak, nelayan dan usahawan agro yang menjadi nadi kepada pembangunan sektor ini."Kisah-kisah inilah yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan membuka mata generasi muda bahawa sektor pertanian mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan, inovasi dan pembangunan ekonomi negara," katanya.Seramai 34 penerima diraikan pada Anugerah Media Agrobank bagi mengiktiraf sumbangan media dalam menghasilkan laporan dan karya berkualiti yang memperkukuh kefahaman awam mengenai sektor pertanian, keterjaminan makanan serta inisiatif pembangunan Agrobank.Memasuki tahun ketiga penganjuran, Anugerah Media Agrobank mengekalkan kedudukannya sebagai satu-satunya anugerah media yang dianjurkan oleh institusi kewangan di Malaysia.Sejak penganjurannya pada 2024 dan 2025, Anugerah Media Agrobank telah mengiktiraf 35 pengamal media daripada pelbagai organisasi media tempatan termasuk Bernama The Star, The Malaysian Reserve, Berita Harian, Kosmo, Utusan Malaysia, RTM, TVS, Suara Sarawak, New Straits Times dan Sin Chew Daily, atas sumbangan mereka dalam mengetengahkan karya berkaitan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.Pada tahun ini, hadiah keseluruhan bernilai RM60,000 ditawarkan kepada para pemenang merentasi beberapa kategori, termasuk Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Berita), Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Rencana), Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Berita), Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Dokumentari), Anugerah Media Radio, Anugerah Kewartawanan Teknologi & Digital Agrobank serta kategori baharu, Anugerah Video Pendek Pelajar.
Go to News Site