Sinar Harian
SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan semakan semula prosedur operasi piawai (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara bagi memastikan musim perayaan disambut dengan selamat.Menterinya, Nga Kor Ming berkata, arahan itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bagi memastikan setiap peniaga mematuhi aspek keselamatan dan beroperasi secara bertanggungjawab.Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan keselamatan komuniti setempat di samping membolehkan orang ramai menikmati suasana perayaan tanpa sebarang insiden tidak diingini."Garis panduan tersebut akan memberikan fokus kepada penetapan jarak keselamatan yang bersesuaian antara gerai, serta penilaian semula lokasi gerai supaya tidak terlalu hampir dengan struktur kekal dan kawasan kediaman," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.Menurutnya, kementerian turut meneliti keperluan supaya setiap gerai berlesen dilengkapi dengan alat pemadam api yang berfungsi bagi membolehkan tindakan kecemasan diambil dengan segera sekiranya berlaku kebakaran."Keselamatan dan kemeriahan harus bergerak seiring. Dengan memperhalusi garis panduan ini, kami komited untuk memperkukuh tahap keselamatan awam supaya setiap rakyat Malaysia dapat menikmati suasana musim perayaan yang meriah secara selamat," ujarnya lagi.Pada Ahad, sebuah gerai menjual pelbagai jenis mercun di Taman Pekaka, Nibong Tebal musnah dalam kebakaran yang turut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 musnah 90 peratus serta tiga unit penyaman udara di bahagian luar sebuah rumah berhampiran.JBPM Pulau Pinang mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu yang mana videonya tular di media sosial dengan pelanggan di sebuah restoran berhampiran bertempiaran lari meyelamatkan diri dengan memasuki premis berkenaan bagi mengelak percikan bunga api dan mercun.Sementara itu, Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menarik balik serta-merta permit gerai terbabit dan menjalankan pemantauan ke atas gerai lain yang menjual mercun di kawasan sekitar.Beliau berkata, gerai berkenaan didapati mempunyai permit sah yang diluluskan MBSP bagi tempoh 19 Februari hingga 24 Mac 2026.
Go to News Site