Sambut lebaran di pos kawalan
Sinar Harian

Sambut lebaran di pos kawalan

SEPANG – Tatkala kebanyakan rakyat Malaysia sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pula reda menyambut lebaran di pos kawalan demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.Koperal Hafizuddin Jawat, 39, berkata, Aidilfitri tahun ini sekali lagi diraikan jauh dari keluarga apabila dia ditugaskan di Pos Bukit Tinjau PGA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 1 Mac hingga 1 April depan."Aidilfitri ini tahun ketiga saya tidak pulang beraya, memang sambut di sini sahaja bersama rakan setugas," katanya ketika ditemui Sinar Harian.Menurutnya, walaupun berjauhan, dia tetap mengubat rindu terhadap isteri dan dua anaknya melalui panggilan video pada pagi Syawal."Memang rindu, tapi ini sebahagian daripada pengorbanan saya sebagai anggota polis," jelasnya.Hafizuddin berkata, persiapan raya dibuat secara sederhana memandangkan dia tidak pulang ke kampung halaman pada 1 Syawal ini."Kelengkapan raya tetap dibeli, namun ketika bertugas kami hanya memakai uniform sebagai lambang kecintaan kepada pertiwi."Selepas operasi ini selesai, barulah saya dapat pulang beraya bersama keluarga dan mengenakan baju raya," ujarnya.Konstabel Mohd Shafiq Crispin, 26, pula berkata, tahun ini merupakan kali kedua dia tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di Semporna, Sabah kerana komitmen tugas.Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, walaupun sedih berjauhan terutama dengan ibu bapa, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.Katanya, kenangan menyambut Aidilfitri di kampung serta menikmati hidangan tradisional Sabah sentiasa menjadi perkara paling dirindui setiap kali tiba musim perayaan."Kehadiran rakan setugas sedikit sebanyak membantu mengubat kerinduan kerana kami sama-sama menyambut Aidilfitri di sini," katanya.Seorang lagi anggota, Yusri Majri, 24, berkata, tahun ini merupakan kali kedua dia tidak dapat pulang beraya sejak mendirikan rumah tangga pada Februari tahun lalu."Tahun ini pun saya bertugas, jadi memang sudah bersedia kalau tidak dapat pulang beraya," ujarnya.Menurut Yusri, isterinya yang kini berada di kampung halaman di Bera, Pahang sering menitipkan pesanan supaya dia terus kuat dan menjalankan tugas dengan penuh komited demi negara.Katanya, persiapan Aidilfitri juga dibuat lebih awal termasuk membeli pakaian raya berwarna biru muda sebagai tema bersama isteri.Sementara itu, Pegawai Pemerintah PGA Batalion 19, Asisten Komisioner Rajab Ahad Ismail berkata, kawalan keselamatan di KLIA terus diperkasa menjelang Aidilfitri bagi memastikan pergerakan keluar masuk penumpang berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal.

Go to News Site