Sinar Harian
SUBANG JAYA - Sebahagian besar rumah penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas akibat kebocoran saluran paip gas di Putra Heights di sini siap dibina semula, namun keadaannya tidak lagi sama seperti kediaman asal.Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd Badli Nordin berkata, kemajuan keseluruhan projek mencapai 80 peratus dengan hanya beberapa unit yang masih dalam pembinaan.Menurutnya, saiz rumah yang dibina semula oleh pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu lebih kecil berbanding kediaman asal, sekali gus memberi kesan kepada keselesaan penduduk."Kalau dulu ada rumah sehingga empat atau lima bilik, sekarang hanya tiga bilik berkeluasan 1,200 kaki persegi."Memang tak sama seperti sebelum ini, jadi ada penduduk yang terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan baharu terutama keluarga besar," katanya kepada Sinar Harian.Menurut Mohd Badli, isu rumah sewa turut menjadi antara cabaran utama apabila banyak unit yang musnah tidak dibina semula."Rumah sewa yang musnah sepenuhnya kebanyakannya tidak diganti, manakala yang rosak separa ada menerima bantuan baik pulih."Jadi, ada pemilik dan penyewa yang terjejas teruk kerana kehilangan sumber pendapatan dan tempat tinggal," katanya.Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Kampung Seri Aman Puchong, Asri Yunos berkongsi keadaan terkini pusat pengajian yang mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung akibat ditimpa tanah dan pasir sehingga memerlukan kerja baik pulih menyeluruh."Anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM60,000, namun kami hanya menerima bantuan RM25,000 untuk membaik pulih kerosakan."Kerja pembaikan sudah dilakukan, tetapi kesan kepada operasi masih dirasai," tambah beliau.Menurutnya, tragedi itu turut memberi kesan kepada jumlah pelajar apabila kemasukan hanya 10 orang berbanding lebih 20 orang sebelum ini kerana ada yang masih trauma.Beliau berkata, kos operasi bulanan tahfiz itu kini mencecah kira-kira RM27,000 meliputi gaji kira-kira 11 tenaga pengajar selain keperluan makan dan minum pelajar.Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Asri di talian 013-3889137 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Maahad Tahfiz Aman Bistari (12159010011025).
Go to News Site