Subsidi minyak berpotensi lebih RM10 bilion - Pakar
Sinar Harian

Subsidi minyak berpotensi lebih RM10 bilion - Pakar

SHAH ALAM – Peningkatan harga minyak dunia yang berterusan dijangka memberi kesan ketara kepada kedudukan fiskal negara apabila subsidi bahan api bagi April dan Mei berpotensi melonjak melebihi RM10 bilion berbanding paras kebiasaan.Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, lonjakan tersebut akan berlaku sekiranya harga minyak mentah global kekal melebihi AS$100 setong hingga hujung Mei.Menurut beliau, ia seterusnya akan meningkatkan beban perbelanjaan kerajaan dalam tempoh jangka pendek."Meskipun Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak berpeluang memperoleh hasil tambahan daripada kenaikan harga komoditi itu, manfaat berkenaan dijangka terhakis akibat peningkatan perbelanjaan subsidi yang lebih tinggi."Keadaan ini akan memberi tekanan kepada fiskal kerajaan kerana lebihan hasil daripada minyak tidak sepenuhnya dapat menampung kenaikan kos subsidi yang perlu ditanggung."Oleh itu, kerajaan disaran mengambil langkah penjimatan perbelanjaan dengan beri keutamaan hanya kepada sektor atau program kritikal," katanya.Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu, susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.Mengulas lanjut Ahmed Razman berkata, pendekatan subsidi juga wajar distruktur semula kepada bentuk lebih bersasar dengan memfokuskan kepada golongan B40 dan M40 khususnya melibatkan barangan serta perkhidmatan asas yang ketika ini masih menerima subsidi secara pukal.Jelasnya, pendekatan subsidi bersasar dapat mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan sampai kepada kumpulan benar-benar memerlukan."Pada masa sama, rakyat turut digesa memainkan peranan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa."Orang ramai disaran utamakan keperluan berbanding kehendak, selain elak hutang baharu yang boleh jejaskan kedudukan kewangan."Langkah berjimat cermat secara kolektif dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan ekonomi di peringkat isi rumah," ujarnya.

Go to News Site