Namakan calon MB Perak isyarat Pas rampas peranan Bersatu
Sinar Harian

Namakan calon MB Perak isyarat Pas rampas peranan Bersatu

IPOH – Tindakan Pemuda Pas Perak menamakan beberapa individu sebagai calon menteri besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dilihat sebagai isyarat parti itu cuba merampas peranan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Shafiq Ariffin berkata, langkah tersebut turut menimbulkan persoalan tentang tahap kepercayaan Pas terhadap kepimpinan Bersatu negeri yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.Menurutnya, situasi itu menjadi lebih ketara selepas Ahmad Faizal meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak susulan kemelut dalaman gabungan berkenaan."Penamaan calon menteri besar daripada Pas bukan sekadar persediaan awal menghadapi PRU16 sebaliknya memberi gambaran bahawa parti itu sedang menyusun langkah untuk mengambil alih pengaruh serta menentukan hala tuju kepimpinan PN di Perak."Malah, ia juga boleh ditafsir sebagai usaha awal untuk merampas kedudukan Pengerusi PN Perak yang sebelum ini diterajui oleh Bersatu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Shafiq berkata, senarai nama yang diketengahkan itu bukanlah asing dalam pentadbiran negeri kerana sebahagiannya pernah memegang jawatan penting termasuk Exco kanan.Bagaimanapun katanya, rakyat Perak masih mengingati prestasi pentadbiran terdahulu yang didakwa tidak terlepas daripada pelbagai kelemahan dalam pengurusan negeri.Dalam masa sama, beliau memaklumkan pendekatan Kerajaan Perpaduan kini lebih memberi tumpuan kepada kestabilan pentadbiran, kesinambungan pembangunan serta usaha menyelesaikan isu rakyat secara tersusun dan bertanggungjawab."Justeru, tindakan menamakan calon Menteri Besar lebih awal ini dilihat lebih kepada percaturan kuasa dalam kalangan mereka sendiri berbanding usaha serius untuk menawarkan kepimpinan terbaik kepada rakyat Perak," katanya.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Pemuda Pas Perak menamakan lima pemimpin parti itu yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai calon menteri besar jika Pas memenangi PRU16.Pengarah Strateginya, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, barisan tokoh berkenaan terdiri daripada pemimpin berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan selain mempunyai pengaruh tersendiri di peringkat akar umbi.Lima pemimpin itu termasuklah Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad; Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria; Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak; Mohd Akmal Kamarudin; Setiausaha Pas Perak, Mohd Fakhrudin Abdul Aziz serta Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri.

Go to News Site