Gerai mercun terbakar: Tiga termasuk seorang wanita ditahan
Sinar Harian

Gerai mercun terbakar: Tiga termasuk seorang wanita ditahan

NIBONG TEBAL - Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kebakaran melibatkan sebuah gerai jualan bunga api yang berlaku di Taman Pekaka di sini pada tengah malam Ahad lalu.Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, penahanan melibatkan warga tempatan iaitu dua lelaki dan seorang wanita."Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mac ini untuk membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kelakuan cuai melibatkan bahan letupan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.05 tengah malam.Menurutnya, kejadian berkenaan mengakibatkan kerosakan beberapa harta benda termasuk sebuah motosikal, dua buah kereta serta premis berhampiran melibatkan sebuah restoran dan sebuah rumah kediaman."Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut."Hasil siasatan awal mendapati gerai jualan bunga api itu mempunyai permit yang sah," katanya.Beliau berkata, punca kebakaran yang menyebabkan letupan bunga api sebelum merebak ke kawasan sekitar masih dalam siasatan.Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mematuhi peraturan keselamatan ketika mengendalikan bahan mudah terbakar khususnya sepanjang musim perayaan."Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebuah gerai yang dijadikan tempat penjualan mercun hampir musnah keseluruhannya dalam kebakaran pada tengah malam Ahad lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, gerai berkeluasan 10 x 10 kaki persegi berkenaan mengalami kemusnahan dianggarkan 95 peratus.

Go to News Site