Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Ketika orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetap menjalankan tugas demi keselamatan pengguna jalan raya.Pegawai Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur, Nurul Syahirah Norazman, 34, pengalaman bertugas pada Aidilfitri memberi makna tersendiri walaupun terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga."Ini merupakan kali kedua, saya bekerja ketika Hari Raya Aidilfitri dan melaksanakan tugas mengikut jadual Operasi Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2026," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.Anak kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, beliau memahami pengorbanan yang perlu dilakukan sejak 10 tahun menyertai JPJ kerana tugas penguat kuasa tidak mengenal waktu, termasuk ketika musim perayaan."Saya sudah memaklumkan kepada keluarga berkaitan tanggungjawab yang dipikul, mereka faham dan sentiasa memberi sokongan," katanya.Nurul Syahirah turut menasihati semua pengguna jalan raya memandu secara berhemah dan mematuhi undang-undang lalu lintas sepanjang tempoh perayaan."Kita berharap pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta tiba di destinasi dengan selamat," katanya.JPJ memulakan Operasi HRA 2026 selama dua minggu bermula 13 Mac hingga 29 Mac dengan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama.Sementara itu, seorang lagi Pegawai Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur, Jackler John, 32, berkata, walaupun beliau tidak menyambut Aidilfitri, kehadiran anggota penguat kuasa di jalan raya tetap penting bagi memastikan perjalanan orang ramai lancar dan selamat."Semangat kerja berpasukan dalam kalangan anggota pelbagai kaum dan agama menjadi kekuatan utama dalam memastikan operasi HRA 2026 dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.Jackler yang berasal daripada Kota Marudu, Sabah berkata, beliau ditugaskan melaksanakan pemantauan mengikut koridor lebuh raya yang telah ditetapkan."Jumlah kenderaan di sekitar ibu kota berkurangan berbanding hari biasa kerana kebanyakan warga kota pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri."Walaupun keadaan trafik agak lengang, rondaan di lebuh raya tetap diteruskan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar serta memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang berdepan masalah," ujarnya.Katanya, kehadiran anggota JPJ di lebuh raya juga membantu mengawal keadaan sekiranya kenderaan rosak atau kemalangan.
Go to News Site