Pesara guru terkejut menang Mercedes-Benz dalam Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025
Sinar Harian

Pesara guru terkejut menang Mercedes-Benz dalam Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025

SHAH ALAM - Seorang pesara guru masih terkejut dan seakan tidak percaya apabila dimaklumkan sebagai pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Cabutan WOW! Tahunan yang membawa pulang kereta Mercedes-Benz A250 4MATIC AMG Line.Umi Kalsum Abd Razak, 56 berasal dari Kelana jaya berkata, pada mulanya dia menyangka panggilan penganjur adalah scammer kerana tidak pernah terfikir akan memenangi mana-mana cabutan.Menurutnya, beliau telah menyimpan bersama Simpan SSPN sejak 2018 iaitu lebih lapan tahun dan menganggap hadiah yang diterimanya sebagai durian runtuh."Apabila saya terima panggilan saya menang hadiah utama memang tidak percaya, keliru pun ada tapi setelah berbual dengan pegawai, saya dapat rasa betul apa yang disampaikan. Saya sangat terharu dan bersyukur apabila terpilih sebagai pemenang utama."Sebelum itu, saya selalu berdoa supaya kereta sedia ada ini sentiasa dalam keadaan baik, tetapi tidak sangka ALLAH memberi rezeki dalam bentuk yang lain."Sekarang saya menggunakan kereta baharu dan rasa sangat seronok, anak-anak pun pesan, ibu pakai sahaja dulu, jangan jual. Lagipun kereta ini membantu saya bergerak, menziarahi anak yang belajar di Melaka dan melaksanakan urusan harian," ujarnya kepada Sinar Harian.Sebelum ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM1.4 juta untuk dimenangi oleh 954 pendeposit.Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program berkenaan merangkumi tiga cabutan istimewa iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026, Cabutan WOW! Plus Siri dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!.Ujar Norliza, kempen yang bermula sejak 1 Januari lalu itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit yang memilih Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan anak-anak.Sementara itu, Umi Kalsum berkata, ibu bapa terutamanya golongan muda digalakkan untuk mula membuka akaun anak dan menyimpan dalam Simpan SSPN, walaupun dengan jumlah yang kecil.Jelasnya, ini kerana ramai dalam kalangan masyarakat masih beranggapan bahawa PTPTN hanya berkaitan pinjaman pendidikan, sedangkan skim simpanan yang ditawarkan turut memberikan pelbagai manfaat lain termasuk peluang menyertai cabutan hadiah."Mulakan sahaja walaupun RM30 sebulan. Sedikit demi sedikit lama-lama akan menjadi simpanan yang besar untuk masa depan anak-anak."Sehingga kini, setiap kali saya bertemu individu yang mempunyai anak, saya selalu menggalakkan mereka untuk mula menyimpan dengan Simpan SSPN. Saya turut menasihati ibu bapa muda yang mempunyai anak kecil kerana kadangkala mereka belum tahu tentang kepentingan simpanan, terutama jika anak masih belum bersekolah."Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, mulakanlah menyimpan sedikit demi sedikit demi masa depan mereka," ujarnya.Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Go to News Site