Sinar Harian
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor kini giat mengesan pemilik kenderaan terlibat dalam video tular pengisian petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti besar di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai, pada Sabtu lalu.Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemilik kenderaan tersebut juga akan dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.Jelas beliau, tindakan proaktif sudah diambil dengan menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak yang terbabit dengan kejadian itu."Kita mengambil maklum berhubung satu hantaran media sosial yang tular membabitkan sebuah kenderaan yang dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti yang banyak."KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu dan berlaku dua transaksi dibuat pemilik kenderaan iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan, manakala satu lagi ke dalam tong plastik yang diletakkan di dalam but kenderaan."Pemeriksaan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah dibuat serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan."Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti yang melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia."Dalam pemeriksaan itu, pasukan penguatkuasa KPDN sudah memberikan peringatan kepada pihak pengurusan stesen minyak supaya sentiasa mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang," katanya.Menurut Lilis Saslinda, satu tindakan kes sudah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.Sebelum itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi pembelian petrol RON95 itu serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUD195. -end-
Go to News Site