Sinar Harian
KUANTAN – Hasrat seorang anak bongsu daripada tujuh beradik untuk pulang ke Felda Lepar Utara bagi menyambut kepulangan ibunya pada raya ketiga berakhir dengan duka apabila dia ‘pergi’ lebih awal dalam satu nahas tragis pada Sabtu.Mangsa, Muhammad Syazwa Sakri, 24, yang bekerja sebagai mekanik, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 0.3 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kira-kira jam 5.56 petang itu.Abang mangsa, Mohd Anuar, 35, berkata, arwah adiknya sangat rapat dengan ibu, Rohani Ismail, 61, dan merancang untuk bertemu sebaik sahaja wanita itu pulang dari Kelantan."Adik (arwah) ketika itu masih berada di Selangor dan sanggup menunggu ibu pulang ke rumah di Felda Lepar Utara dulu sebelum dia bertolak balik."Tetapi ia berlaku sebaliknya apabila dia 'pergi' lebih awal. Malah, hajatnya untuk menjamah telur goreng air tangan ibu pun tidak kesampaian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.Anak kelima daripada tujuh beradik itu memberitahu, ibunya menerima berita pemergian arwah dengan penuh sabar dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah."Saya tahu hati ibu luluh, tapi dia reda dengan ujian ini."Malah, ibu kata wajah arwah sangat bersih dan tenang seolah-olah sedang tidur sahaja," ujarnya lagi.Bercerita lanjut, Mohd Anuar memaklumkan, kali terakhir dia bertemu arwah adiknya adalah seminggu sebelum Ramadan berakhir di ibu kota.Ujarnya, ketika itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang pelik, sebaliknya dia kekal dengan perwatakan ceria dan gemar melayan anak-anak saudara.Tambah Mohd Anuar, arwah itu memang seorang yang sangat baik, manja dan disebabkan itu adiknya mempunyai ramai ibu angkat di Selangor."Sebelum kejadian, arwah sempat membuat panggilan video dengan keluarga angkatnya di Setapak, Kuala Lumpur untuk maklumkan dia dalam perjalanan dari Kajang."Namun, kelibatnya tidak kunjung tiba sehinggalah kami mendapat perkhabaran duka daripada pihak polis," ceritanya lagi.Di sebalik keredaan itu, Mohd Anwar berkata, pihak keluarga menuntut siasatan telus dijalankan berikutan tularnya rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kejadian menimpa arwah syazwa."Kami mahu keadilan buat Syazwa dan harapan kami adalah agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan adil supaya pelaku menerima balasan yang setimpal," jelasnya.Jenazah Mohd Syazwa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Utara 2 di sini pada Ahad.Difahamkan, suspek dilaporkan telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dilihat terbaring kaku di atas jalan selepas sebuah kereta berwarna biru merempuh motosikal ditunggangnya, berdasarkan satu rakaman video berdurasi satu minit 18 saat yang tular dalam media sosial.
Go to News Site