Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Seorang suami kini berdepan trauma mendalam selepas kehilangan isteri dan dua anaknya serentak dalam satu kemalangan jalan raya ketika mereka dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan keluarga, petang semalam.Allahyarham Nurul Hafizah Shaary, 39, bersama dua anaknya maut dalam kejadian itu, hanya sehari selepas sempat meraikan sambutan hari lahir anak bongsu mereka dalam suasana penuh kegembiraan bersama keluarga.Anak saudara mangsa, Mohd Tarmizi Said, 42, berkata, pada malam sebelum kejadian, arwah telah mengatur majlis sambutan hari lahir untuk Nur Radhya Athalia Mohamad Redzuan, 4, yang turut terkorban dalam kemalangan berkenaan.Mohd Tarmizi yang bekerja sebagai pegawai polis berkata arwah kelihatan sangat gembira kerana dapat berkumpul bersama sanak saudara dari dekat dan jauh sempena Aidilfitri serta majlis perkahwinan adiknya."Kami memang rapat sejak kecil kerana membesar bersama. Malah dialah yang memberi kata-kata semangat semasa saya menjalani latihan polis."Pada malam kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia sentiasa ceria dan disayangi oleh semua orang. Kebetulan hari lahir anak bongsunya sama dengan saya, jadi kami sambut bersama-sama pada malam sebelum kejadian," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.Mohd Tarmizi berkata suami arwah, Mohamad Redzuan, 40, yang bekerja sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Kuala Dungun, kini berdepan trauma mendalam selepas kehilangan isteri serta dua anaknya serentak dalam tragedi berkenaan.Dalam masa sama, Mohamad Redzuan turut berdepan ujian apabila dua lagi anak mereka, Nur Raesha Amanda, 14, dan Nur Rakhis Aral Yn, 9, masih menerima rawatan di Hospital Dungun."Ketika menerima berita itu, suami arwah baru sahaja tiba di kediaman mereka di Ajil, Hulu Terengganu, dari Jerangau, Dungun. Dia pulang lebih awal dengan menaiki motosikal kerana perlu masuk bekerja."Bagaimanapun, sekitar pukul 6 petang semalam, saya menerima panggilan daripadanya dan terus bergegas ke Klinik Kesihatan Jerangau untuk melihat keadaan anak bongsunya yang cedera parah, namun dia meninggal dunia dalam pelukan saya," katanya dalam nada sebak.Beliau berkata, Nur Rakhis Aral Yn kini dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan pulang hari ini, manakala Nur Raesha Amanda akan dipindahkan ke Hospital Kemaman untuk menjalani pembedahan akibat patah paha.Menurutnya, jenazah tiga beranak itu, termasuk seorang lagi anak mangsa, Muhammad Redzuan Arash, 13, telah selesai dibedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong, Setiu, selepas solat Asar.Semalam, Bernama melaporkan tiga beranak maut selepas kereta Perodua Aruz yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Felda Jerangau, Dungun.Nurul Hafizah dan Muhammad Redzuan Arash disahkan maut di tempat kejadian, manakala Nur Radhya Athalia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jerangau. - Bernama
Go to News Site