Sinar Harian
KUANTAN – Kebakaran hutan dan ladang kelapa sawit seluas 442 hektar di dua lokasi berasingan di Pekan dan Kuala Rompin dilaporkan berlaku sejak Isnin.Operasi pemadaman yang memasuki hari kedua itu melibatkan Ladang Agropolitan Nenasi di Pekan serta sebuah ladang sawit di Kampung Jemeri, Kuala Rompin.Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, bagi lokasi di Nenasi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.Menurutnya, kebakaran itu melibatkan kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit dengan anggaran keluasan terbakar sekitar 150 hektar daripada keseluruhan 500 hektar."Setakat ini, sebanyak 48 hektar kawasan berjaya dipadamkan. Pasukan turut berdepan cabaran utama iaitu kekangan akses ke lokasi, sekali gus menyukarkan pergerakan jentera dan anggota."Jadi, kita telah mengemukakan permohonan bantuan Unit Udara Bomba bagi mempercepatkan operasi pemadaman di kawasan tersebut," katanya pada Selasa.Beliau menambah, operasi pemadaman di kawasan tersebut dijalankan secara dua kumpulan menggunakan unit pam angkut dengan dua aliran sepanjang 300 kaki dari sumber air terbuka dengan bantuan 10 pekerja ladang.Bagi kebakaran ladang sawit di Kampung Jemeri, Kuala Rompin, Wan Ahmad Fadillah memberitahu, keluasan terbakar di kawasan terbabit dianggarkan mencecah 292 hektar daripada keseluruhan 1,214 hektar kawasan ladang.Menurutnya, setakat ini sebanyak 6.07 hektar berjaya dipadamkan manakala baki kebakaran dianggarkan sekitar 286 hektar lagi."Operasi turut mendapat bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pekerja ladang."Kerja-kerja pemadaman menggunakan unit pam angkut dengan hos sepanjang 600 kaki, breeching dan dua pancutan dengan sumber air terbuka," katanya.Wan Ahmad Fadillah menambah, secara keseluruhan operasi di kedua-dua daerah itu melibatkan kekuatan 28 anggota bersama pelbagai aset logistik termasuk jentera pemadam, jengkaut serta traktor.Ujar beliau, operasi pemadaman berada dalam keadaan terkawal secara berperingkat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan."Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kejadian kebakaran melalui talian kecemasan 999," katanya.
Go to News Site