Sinar Harian
KOTA BHARU - Kebakaran gerai mercun dan bunga api di tepi jalan di Wakaf Che Yeh pada Selasa dipercayai berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar lampu hiasan berwarna-warni yang dipasang di khemah jualan berkenaan.Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berlaku di gerai yang terletak berhadapan sebuah premis kedai makan kira-kira jam 10 pagi."Kami terima panggilan kecemasan pada jam 10.13 pagi daripada orang awam memaklumkan berhubung kebakaran itu."Hasil pemeriksaan forensik bomba mendapati punca kebakaran adalah akibat litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari premis kedai makan ke lampu hiasan di gerai jualan mercun dan bunga api," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Dalam kejadian tersebut, dua khemah jualan mercun musnah sepenuhnya manakala beberapa premis berhampiran mengalami kesan bahangan dan asap.Kebakaran menyebabkan letupan mercun yang mencemaskan pengguna jalan raya namun tiada sesiapa cedera.Menurut beliau, perniagaan mercun dan bunga api itu dikendalikan oleh seorang wanita tempatan berusia 44 tahun yang juga pemilik premis kedai makan berkenaan dan mempunyai permit sah untuk menjalankan jualan di lokasi sama.Susulan itu, polis bertindak menahan wanita itu bersama seorang lagi wanita yang merupakan penjaga gerai pada hari sama, kira-kira jam 8.30 malam bagi membantu siasatan."Kedua-dua suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kecuaian mengendalikan bahan mudah terbakar."Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Go to News Site