Cadangan nama MB Perak dari Pas belum muktamad - Armada Bersatu
Sinar Harian

Cadangan nama MB Perak dari Pas belum muktamad - Armada Bersatu

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan cadangan nama calon Menteri Besar Perak yang dikemukakan oleh Pemuda Pas bukanlah satu keputusan muktamad sebaliknya hanya sebahagian daripada proses dalaman parti tersebut.Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Halim Nayan berkata, perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan persepsi wujud krisis dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).Menurutnya, sebarang cadangan yang dikemukakan adalah perkara biasa dalam sesebuah parti politik dan akan dibincangkan secara harmoni di peringkat rundingan bersama gabungan."Cadangan calon menteri besar oleh Pemuda Pas hanyalah sebahagian daripada proses dalaman parti mereka dan bukan satu keputusan muktamad."Segala perbezaan pandangan akan diselesaikan dalam suasana harmoni di meja rundingan Perikatan Nasional, bukan melalui kenyataan murahan atau persepsi luar ditimbulkan parti lawan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Shafiq Ariffin yang dilihat mengkritik cadangan tersebut.Halim turut menegaskan bahawa pelantikan menteri besar bukan ditentukan oleh mana-mana pihak, sebaliknya merupakan hak mutlak Sultan Perak untuk memberi perkenan lantikan tersebut.Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Bersatu juga mempunyai barisan kepimpinan berpengalaman untuk diketengahkan sebagai calon menteri besar termasuklah Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang pernah menjawat jawatan berkenaan.Menurutnya, Pas sebagai rakan dalam Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai senarai kepimpinan tersendiri untuk dipertimbangkan.Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak yang mempersoalkan perkara berkenaan sebagai tidak wajar dan dilihat cuba mencampuri urusan dalaman gabungan lain."Fokus seharusnya diberikan kepada isu rakyat, terutama melibatkan kos sara hidup dan tekanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini."PN akan terus bergerak secara tersusun dan matang dalam menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16) serta bersedia menawarkan kepimpinan terbaik untuk negeri Perak," katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Bersatu.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Pemuda Pas Perak menamakan lima pemimpin parti itu yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai calon menteri besar jika Pas memenangi PRU16.Pengarah Strateginya, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, barisan tokoh berkenaan terdiri daripada pemimpin berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan selain mempunyai pengaruh tersendiri di peringkat akar umbi.Lima pemimpin itu termasuklah Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad; Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria; Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak; Mohd Akmal Kamarudin; Setiausaha Pas Perak, Mohd Fakhrudin Abdul Aziz serta Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri.Bagaimanapun Pemuda Amanah Perak dalam satu kenyataan menyifatkan, tindakan Pemuda Pas Perak menamakan beberapa individu sebagai calon menteri besar menjelang PRU16 dilihat sebagai isyarat parti itu cuba merampas peranan Bersatu dalam PN di negeri ini.

Go to News Site