Sinar Harian
IPOH – Penyediaan Bilik Multisensori Integrasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Coronation Park bukan sahaja menceriakan murid berkeperluan khas (MBK) malah membantu meringankan beban guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.Guru Besar sekolah berkenaan, Fazli Mohd Zairy berkata, kemudahan itu memberi nilai tambah kepada sekolah terutama dalam menyediakan kaedah pengajaran yang lebih tersusun dan berkesan.Menurutnya, sebelum ini kemudahan sedia ada agak terhad, namun dengan adanya bilik multisensori, guru dapat mengendalikan sesi pembelajaran dengan lebih mudah."Ia memudahkan dan meringankan beban guru dari segi penyediaan kaedah pengajaran, selain membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran."Daripada pemerhatian, murid-murid juga menunjukkan minat yang tinggi apabila menggunakan kemudahan ini kerana alatan disediakan mampu meningkatkan motivasi mereka," katanya.Fazli berkata, SK Coronation Park mempunyai seramai 86 MBK dengan kira-kira 68 peratus daripadanya terdiri daripada murid dalam autisme.Terdahulu, Yayasan Perakcmenyempurnakan penyerahan Bilik Multisensori Integrasi di sekolah berkenaan sebagai sebahagian pelaksanaan Program Naungan Kasih Autisme iaitu inisiatif sokongan pendidikan untuk murid dalam spektrum autisme.Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, penyediaan bilik multisensori merupakan pendekatan praktikal bagi menyokong keperluan pembelajaran murid autisme dalam persekitaran yang lebih kondusif dan mesra murid."Yayasan Perak percaya murid dalam spektrum autisme memerlukan sokongan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka."Penyediaan bilik multisensori di sekolah membolehkan sokongan asas ini diberikan lebih dekat dengan murid, dalam suasana terkawal dan selamat," katanya.Menurutnya, Program Naungan Kasih Autisme digerakkan melalui kerjasama antara Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Yayasan Perak dengan fokus kepada penyediaan sokongan pembelajaran yang boleh dimanfaatkan secara berterusan di peringkat sekolah.Dalam perkembangan sama, Nasreen Khanum berkata, peningkatan kes autisme di Perak memerlukan pendekatan intervensi lebih tersusun termasuk penyediaan kemudahan di sekolah bagi memastikan akses pendidikan lebih inklusif."Yayasan Perak kini sedang meneliti keperluan untuk perluaskan kemudahan ini ke lebih banyak sekolah dengan kerjasama JPN serta sokongan pihak swasta melalui insentif pelepasan cukai," katanya.Inisiatif tersebut dilihat selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan modal insan inklusif serta memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk golongan berkeperluan khas.Yayasan Perak merupakan antara agensi utama dalam merealisasikan Flagship Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat di dalam pelan pembangunan digagaskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Go to News Site