Ops Pantau: Lebih 3,800 warga asing diperiksa
Sinar Harian

Ops Pantau: Lebih 3,800 warga asing diperiksa

PUTRAJAYA – Lebih 3,800 warga asing diperiksa menerusi Ops Pantau yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara dalam tempoh lima hari bermula 20 hingga 24 Mac lalu.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sebanyak 45 Ops Pantau dijalankan melibatkan 3,826 individu di lokasi yang telah dikenal pasti."Operasi berkenaan dilaksanakan secara terancang bagi memastikan status serta dokumen perjalanan warga asing berada dalam keadaan sah di samping menjamin pematuhan undang-undang imigresen negara."Pelaksanaan ini dibuat secara terancang bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan dengan teratur, terkawal dan berintegriti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Zakaria berkata, dalam masa sama, pihaknya turut mengambil kira sensitiviti warga asing yang menyambut perayaan jauh dari keluarga dengan memastikan setiap pemeriksaan dijalankan secara profesional dan berhemah."Pendekatan itu juga bertujuan mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya di lokasi tumpuan awam."Pegawai penguat kuasa di lapangan sentiasa diingatkan supaya mematuhi disiplin serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di samping menghormati sensitiviti budaya dan norma setempat," katanya.Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan imigresen tidak tertakluk kepada musim tertentu memandangkan pelanggaran undang-undang boleh berlaku pada bila-bila masa."Dari sudut taktikal, tempoh tertentu termasuk musim perayaan boleh membantu meningkatkan keberkesanan pengesanan berdasarkan pola pergerakan serta tumpuan individu di lokasi tertentu."Namun setiap tindakan dilaksanakan berasaskan risikan dan keperluan penguatkuasaan, bukan faktor masa semata-mata," katanya.Tambah beliau, JIM akan terus komited mengimbangi keperluan penguatkuasaan undang-undang dengan kepekaan terhadap norma serta keharmonian masyarakat."Setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan prinsip profesionalisme, integriti dan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan negara," katanya.

Go to News Site